Bahasa Melayu terus dimartabatkan dan mendapat pengiktirafan di China dan tidak lagi dilihat hanya sebagai subjek bahasa – Dr Awang Sariyan

BANGI, 14 ZULKAEDAH – Bahasa Melayu semakin mendapat perhatian di China apabila sekurang-kurangnya 17 institusi pengajian tinggi (IPT) di negara itu kini menawarkan kursus berkaitan bahasa Melayu, termasuk program ijazah penuh.

Daripada jumlah tersebut, 13 universiti di China menyediakan program ijazah bahasa Melayu selama empat tahun dengan kandungan pengajian yang meliputi pelbagai bidang ilmu dan setanding dengan program bahasa Melayu di universiti tempatan seperti Universiti Malaya dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Profesor Emeritus Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Awang Sariyan berkata, pengajian bahasa Melayu di China bukan sahaja tertumpu kepada aspek linguistik, malah merangkumi tamadun secara menyeluruh termasuk sastera, budaya, sejarah, media dan sosioekonomi.

Menurut beliau, pendekatan menyeluruh itu turut memberi pendedahan kepada analisis isu semasa di Malaysia termasuk kandungan media tempatan bagi membantu pelajar memahami konteks sebenar masyarakat Melayu dan negara ini.

Beliau yang juga Penasihat Kehormat Pusat Pengajian Melayu China di Beijing Foreign Studies University berkata, selain program ijazah, terdapat dua IPT yang menawarkan diploma bahasa Melayu selama tiga tahun, manakala beberapa universiti lain menyediakan kursus bahasa tersebut bagi tujuan hubungan antarabangsa.

Perkembangan itu turut melibatkan peringkat lebih awal apabila maktab perguruan dan sekolah menengah di selatan China mula menawarkan bahasa Melayu sebagai subjek elektif.

“Dalam tempoh kurang daripada sedekad, perkembangan ini amat memberangsangkan. Ketika saya mula ke China, hanya tiga universiti menawarkan program ijazah bahasa Melayu, namun kini bilangannya meningkat dengan pesat,” katanya.

Beliau yang pernah menyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China dari tahun 2008 hingga 2011 serta 2016 hingga 2018 berkata, peningkatan tersebut didorong hubungan erat antara Malaysia dan China termasuk kerjasama institusi pendidikan serta jaringan akademik yang aktif mempromosikan pengajian Melayu di negara itu.

Tambahnya, universiti di China turut menunjukkan komitmen tinggi apabila mewajibkan sekurang-kurangnya seorang pensyarah penutur jati bahasa Melayu dari Malaysia bagi memastikan ketepatan penggunaan bahasa dan pemahaman budaya.

“Mereka sanggup melabur kerana melihat manfaat jangka panjang, termasuk melahirkan tenaga profesional seperti penterjemah, jurubahasa dan eksekutif yang mampu menghubungkan urusan antara syarikat China dan agensi di Malaysia,” katanya yang juga Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA.

Sumber: TV Pertiwi

📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts