BANGI, 4 Zulhijjah – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menegaskan bahawa ajaran Qadiani di Negeri Selangor telah difatwakan terkeluar daripada agama Islam pada 24 September 1998 dan 17 Ogos 2000.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan hantaran Facebook Keranda Ghulat berkaitan ajaran Qadiani yang didakwa tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama.
Menurut JAIS, pihaknya sentiasa memantau dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap ajaran tersebut, termasuk mengenal pasti individu yang bukan dilahirkan sebagai Qadiani, status mereka, cara pergerakan kumpulan, hubungan dan komunikasi yang dijalankan serta aktiviti yang dianjurkan.
JAIS turut menjelaskan bahawa video-video yang dikaitkan dengan hantaran Facebook Keranda Ghulat merupakan rakaman lama dari tahun 2019 yang dikumpulkan dan ditularkan semula.
“Berdasarkan rekod, pihak JAIS telah menjalankan siasatan di lokasi berkenaan sejurus dimaklumkan mengenai video tersebut pada ketika itu.
“Bagaimanapun, JAIS mendapati tiada kesan kegiatan seumpamanya berlaku pada masa tersebut,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut JAIS lagi, pihaknya turut menyiasat lapan lokasi lain di Ulu Yam yang dikaitkan dengan kegiatan sama, namun tidak menemukan sebarang tanda aktiviti dijalankan.
Dalam pada itu, JAIS menasihatkan umat Islam agar tidak menyertai atau mengikuti sebarang program dan aktiviti yang mempunyai kaitan dengan ajaran Ahmadiah, Qadiani atau ajaran yang mempunyai ciri-ciri seumpamanya kerana ia merupakan kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.
JAIS turut mengingatkan umat Islam supaya sentiasa berhati-hati kerana penampilan dan cara amalan kumpulan tersebut sangat menyerupai amalan umat Islam majoriti di negara ini. Namun, terdapat beberapa perbezaan yang sukar dikenal pasti secara zahir dan didapati bercanggah dengan ajaran Islam menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sumber: TV Pertiwi
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam







