BANGI, 16 Zulhijjah – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) atas kejayaan menerima Labaytum Diamond Award bagi musim haji 1447H/2026M.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Alam Shah, Baginda menyifatkan pengiktirafan berprestij tersebut sebagai bukti kecekapan, profesionalisme dan komitmen tinggi seluruh warga TH dalam mengurus serta menyelaras operasi haji Malaysia di Makkah dan Madinah.
Anugerah itu diberikan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, sekali gus mengekalkan pencapaian cemerlang TH untuk tahun kedua berturut-turut. Penerimaan Labaytum Diamond Award buat kali kelima juga mencerminkan mutu pengurusan dan perkhidmatan TH yang konsisten serta berkualiti tinggi.
Baginda bertitah bahawa kejayaan tersebut bukan sahaja membanggakan TH, malah turut mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa serta mengukuhkan kedudukan negara sebagai antara contoh terbaik dalam pengurusan ibadah haji yang sistematik, cekap dan berlandaskan prinsip syariah.
Menurut kenyataan itu, pengalaman Baginda yang pernah menunaikan ibadah haji sebanyak dua kali dan beberapa kali mengerjakan umrah melalui bimbingan TH membolehkan Baginda menilai sendiri mutu perkhidmatan yang disediakan.
Berdasarkan pengalaman tersebut, Baginda menzahirkan penghargaan terhadap tahap kebajikan, pengurusan dan perkhidmatan TH yang disifatkan amat baik, tersusun serta sentiasa mengutamakan keselesaan dan keselamatan para jemaah.
Dalam masa yang sama, Baginda turut mengimbau sejarah penubuhan TH yang diasaskan hasil cetusan idea Allahyarham Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada tahun 1959. Idea tersebut memperkenalkan model simpanan dan pelaburan patuh syariah bagi membantu umat Islam membuat persediaan kewangan untuk menunaikan haji secara terancang.
Menurut Baginda, visi jauh tokoh ilmuwan dan ekonomis negara itu terbukti berjaya apabila berjuta-juta umat Islam di Malaysia dapat menunaikan Rukun Islam kelima tanpa perlu menjual harta atau berhutang.
Sultan Sharafuddin turut merakamkan penghargaan kepada jemaah haji Malaysia yang sentiasa menunjukkan disiplin, adab dan akhlak terpuji sepanjang berada di Tanah Suci.
Baginda bertitah bahawa sikap tertib, kerjasama yang baik serta pematuhan terhadap peraturan yang ditunjukkan oleh jemaah Malaysia sering menjadi contoh dan menerima pujian daripada pihak berkuasa Arab Saudi serta jemaah antarabangsa dari pelbagai negara.
Sumber: TV Pertiwi
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam







