Tahun 2017 muhasabah buat semua

 

PENGIKTIRAFAN Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel telah pun diketahui. Saya tidak mahu menganalisis satu persatu.

Seperti disimpulkan, masa depan dunia tidak memihak kepada Islam dan umatnya. Kita asyik bergaduh, sama ada di rantau Timur Tengah mahupun dalam negara ini. Seolah-olah tidak ada kerja lain. Keadaan terus merugikan.

Orang lain mengaut keuntungan dari kelemahan umat Islam. Semua orang buat tidak betul, kita sahaja yang betul. Inilah minda umat Islam hari ini.

Lebih meloyakan apabila masing-masing begitu ghairah menjadi juara. Akhirnya, dengan kuasa Tuhan, Baitulmaqdis telah pun berada dalam genggaman Yahudi Zionis.

Apakah yang mampu kita lakukan? Paling penting, apa yang kita dapat belajar selepas peristiwa ini? Orang yang minda kecil sahaja suka menyalah orang lain.

Orang berminda besar mesti mencari jawapan kenapa isu itu berlaku dan memikir cara untuk mengatasinya. Apatah lagi jika bergelar sebagai khairu ummah.

Pertama, setiap pemimpin Islam yang berjaya menerajui kerajaan mesti sedar dan muhasabah diri. Jangan terlalu mencari kesalahan atau aib orang lain. Tinjau-tinjau juga aib sendiri.

Cari calon terbaik yang benar-benar mengutamakan akhlak dan integriti. Mulakan dari sekarang.

Pastikan mereka dilantik tidak ada masalah akhlak, rasuah, wanita, kroni dan sebagainya. Ini termasuk pelantikan jawatan penting dalam setiap pengurusan Kerajaan Pusat dan negeri.

Lantiklah mereka yang layak dan bukan melalui saluran kroni. Bukan apa, rasuah mampu merosakkan keutuhan sebuah negara. Itulah yang merosakkan nama pemimpin Islam.

Maklumlah, ada kala berlaku pertembungan antara quwwah dan amanah. Keluarga pemimpin tersebut juga tidak terlepas dari hal-hal nahi dan mungkar.

Paling baik biarlah isteri setiap pemimpin Islam menutup aurat, kerana rakyat melihat apa yang kita buat, bukan apa yang dilaungkan pemimpin Islam tersebut.

Jika masih tidak percaya bertudung itu wajib, sekurang-kurangnya berpakaian sopanlah dan jangan terlalu mendedahkan perhiasan badan.

Kedua, pemimpin BN, Pakatan Harapan dan Pas mesti melatih ahlinya mengutamakan ukhuwah dan perpaduan. Ini amat penting demi mengelakkan budaya fitnah dan perpecahan.

Pemimpin mesti berterima kasih kepada rakyat yang mengundinya, bukan menyuruh rakyat berterima kepada pemimpin.

Jika terdapat pemimpin BN, Harapan dan Pas terus berlagak dengan hasil mahsul diperoleh dan menunjuk-nunjuk dengan kemewahan, tunggulah kehancuran ukhuwah dan perpaduan umat Islam di negara ini.

Ketiga, masyarakat bukan Islam perlu dijaga seperti diajar Nabi Muhammad SAW. Jangan ketepikan mereka sama sekali dalam setiap keputusan melibatkan kepentingan mereka.

Wujudkan satu badan khas untuk penyelesaian isu-isu masyarakat bukan Islam. Selesaikan mana patut diutamakan dan mana patut dikemudiankan agar keharmonian masyarakat majmuk di negara ini tidak tergugat.

Ramaikan penjawat awam bukan Islam di peringkat pusat atau negeri terutamanya dalam bidang keselamatan negara ini.

Keempat, setiap pemimpin Islam sama ada dari BN, Harapan dan Pas mesti cenderung kepada Islam dan melaksanakan pematuhan syariat dalam setiap pekerjaan dilakukan untuk memikat hati Melayu khususnya rakyat marhaen.

Jika tidak mampu melaksanakan undang-undang Islam secara keseluruhan, sekurang-kurangnya ada kecenderungan ke arah pematuhan syariat.

Jangan melakukan sesuatu sambil lewa sahaja. Jika terdapat mana-mana pihak bersikap kurang ajar terhadap Islam dan institusi raja, hendaklah ditegur dan ditutup mulutnya cepat-cepat. Mereka mesti sedar diri dan tahu asal-usul negara ini. Buatlah apa sepatutnya betul.

Yang salah perlu diambil tindakan, bukan menuding jari melihat siapa betul, siapa salah.

Jangan tolak kebaikan walaupun datang daripada masyarakat bukan Islam. Ingat jangan mengkafirkan sesama umat Islam tetapi ambil tindakan terhadap mereka yang melampaui batas.

Demi mengelakkan kesesatan dalam ajaran Islam. Kita mesti pandai juga berstrategi seperti orang lain agar kita dihormati bukan ditakuti.

Kelima, BN teruskan program transformasi seperti GTP, NKRA, IBRA dan lain-lain lagi. Jika ada melibatkan projek dan tender, lakukan dengan telus. Ketepikan kroni dan rasuah. Rujuk perlembagaan dalam soal pembahagian hak kepada bumi dan non-bumi.

Keenam, BN perlu merapatkan jurang pendapatan antara pendapatan kelas menengah dan pendapatan terendah dengan pendapatan teratas.

Lelehkan pertumbuhan ekonomi sehingga ke akar umbi. Perbaikilah liberalisasi subsidi agar rakyat marhaen tidak tertekan dengan kos kehidupan.

Akhirnya, utamakan program integrasi wilayah, kaum dan sesama Islam. Integrasi Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung amat penting. Kita tidak boleh pandang ringan soal kedaulatan negara ini.

Elakkan isu-isu yang membawa perpecahan kaum khususnya sesama Islam. Kita perlu bergerak ke hadapan. Marilah kita kuatkan asas negara ini. Belajarlah apa yang telah berlaku ke atas Palestin.

DR ISKANDAR HASAN TAN ABDULLAH

Sumber: Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts