Adakah bukan muslim yang baik masuk syurga?

 

SAYA hairan dengan kenyataan si fulanah ini yang dahulunya seakan menolak hadis, dan kini seakan menolak al-Quran pula.

 

Image may contain: text

 

1. Agama bukan macam potong kek, nak makan potong, tak mahu makan tinggal.

Dalam al-Quran jelas Allah sebut:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَالْمُشْرِكِينَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا أُولَئِكَ هُمْ شَرُّ الْبَرِيَّةِ

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam Neraka Jahanam, kekallah mereka di dalamnya. Mereka itulah seburuk-buruk makhluk” [Al-Bayyinah: 6].

Nabi SAW pula bersabda:

“Demi diriku yang berada di tangan-Nya, tidak seorang pun dari kalangan umatku yang pernah mendengar akan diriku baik Yahudi atau Nasrani, kemudian meninggal tanpa beriman dengan apa yang aku diutuskan dengannya melainkan akan tergolong dalam kalangan penghuni neraka” [Riwayat Muslim].

“Kalian tidak akan masuk syurga melainkan setelah kalian beriman” [Riwayat Muslim].

2. Agama ini bukan ikut logika kepala sendiri. Pandulah akal dengan nas.
Agama ini bukan berpaksikan pada akhlak mulia semata, namun pada ketaatan pada Allah dan Rasul-Nya.

Iman yang tidak sempurna punca kegagalan ujian di dunia.

Seandainya cukup mempercayai kewujudan Tuhan tanpa ketaatan, Iblis yang sekerat “beriman” mengakui dan meyakini kewujudan Allah serta kekuasaan-Nya juga tidak mampu masuk syurga kerana hilang cebisan iman dan Islam yang lain.

Seandainya cukup sekadar akhlak mulia menjadi ukuran, maka tidaklah baginda tergamak menyampaikan kebenaran bahawa paman kesayangan baginda; Abu Talib tempatnya bukan di syurga.

3. Seandainya hanya akhlak menjadi ukuran, mengapa ramai pelajar sekolah atau universiti yang masih dianggap gagal walaupun berdisiplin dan memiliki akhlak yang baik?

Kerana kejayaan di institusi pengajian bukan sekadar disiplin, bahkan pelajaran yang pelbagai subjeknya.

Kesemua itu merupakan pakej ujian yang perlu dilepasi setiap yang bergelar pelajar di sana.

Sama juga kita semua, dunia ini merupakan medan ujian kita yang mana subjek ujiannya merangkumi iman dan amal soleh, dan subjek teras wajib lulus ialah TAWHID kepada Allah.
Jika gagal subjek wajib ini, maka gagallah keseluruhannya, sedangkan subjek lain seandainya terkandas, masih “boleh kira”.

4. Kebaikan serta sumbangan seseorang itu di dunia sudah pasti kita akui dan hargai.
Allah juga mengganjarinya di dunia dalam bentuk kenikmatan dunia.

Namun ianya tidak mampu menjadi tiket untuk menggapai kenikmatan kekal abadi di akhirat melainkan dengan disertai syarat tambahan [mafhum hadis riwayat Muslim].

5. Ya, untuk menang hadiah tambahan, perlulah syarat tambahan!

Kebaikan yang boleh diterima menjadi tiket mendapatkan hadiah syurga, wajib disertai IMAN kepada Allah dan Rasul-Nya.

Itu “tiket original” yang menjadi syarat tambahan wajib ada!

وَمَا مَنَعَهُمْ أَن تُقْبَلَ مِنْهُمْ نَفَقَاتُهُمْ إِلاَّ أَنَّهُمْ كَفَرُواْ بِاللّهِ وَبِرَسُولِهِ

“Dan tidak ada yang menghalangi mereka, untuk diterima derma-derma mereka melainkan kerana mereka kufur kepada Allah dan RasulNya…” [al-Tawbah: 54].

6. Tiket “kejayaan” dunia yang tidak disertai “cop pengesahan kejayaan” akhirat, akan di”reject” Allah di sesi “semakan tiket” mahsyar kelak.

وَلَقَدۡ أُوحِىَ إِلَيۡكَ وَإِلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكَ لَٮِٕنۡ أَشۡرَكۡتَ لَيَحۡبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِينَ

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi” [al-Zumar: 65].

7. Islam tidak mengajar umatnya untuk mengatakan sesuatu yang buruk pada non-muslim yang baik lagi berjasa.

Saya tidak melihat ada umat Islam Malaysia yang mencela mendiang, bahkan ramai yang memuji serta menyebut kebaikan beliau.

Namun pastilah bentuk ucapan atau doa yang diharuskan ada landasannya yang tidak boleh dirempuh, seperti beristighfar buatnya sudah tentu tidak dibenarkan.

مَا كَانَ لِلنَّبِىِّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَن يَسۡتَغۡفِرُواْ لِلۡمُشۡرِڪِينَ وَلَوۡ ڪَانُوٓاْ أُوْلِى قُرۡبَىٰ مِنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمۡ أَنَّہُمۡ أَصۡحَـٰبُ ٱلۡجَحِيم

“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli Neraka” [al-Tawbah: 113].

Nasihat saya:

Kukuhkanlah dahulu ilmu Akidah dan Tawhid yang menjadi teras risalah Nabi SAW berdasarkan al-Quran, al-Sunnah dan kefahaman para sahabat RA yang mulia, sebelum mengulas sesuatu berkaitan agama.

Agama tanpa panduan wahyu hanyalah falsafah sampah yang merosakkan akidah ummah!

Dr. Kamilin Jamilin

Sumber: https://web.facebook.com/1743258955902336/photos/a.1743283149233250/2465254583702766/?

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts