Ahli politik, agama digesa henti perbalahan elak umat Islam berpecah

 

PUTRAJAYA – Perbalahan yang berlaku antara pemimpin politik dan agama akan mengundang kepada perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini, demikian tegas Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid.

Meskipun beliau percaya mereka yang terlibat dalam perbalahan itu adalah pihak yang ikhlas dalam perjuangan umat Islam, namun katanya, kelompok itu berani mengambil risiko kehancuran ummat kerana kepercayaan dan prinsip masing-masing.

Malah katanya, mereka juga percaya bahawa kemenangan yang diperoleh dalam perbalahan itu boleh digunakan sebagai ‘lampu Aladin’ yang boleh menyelesaikan semua masalah.

“Paling malang apabila gelagat londeh-melondeh antara satu sama lain dengan menelanjang rahsia dan bukan rahsia, yang benar dan tidak benar berasaskan falsafah bahawa kekuatan anda berada pada kelemahan musuh anda.

“Perbuatan itu adalah haram dan lebih haram daripada menamakan anak berbin… tidak apa. Dan disifatkan dalam Al Quran seperti meratah daging sesama saudara Islam yang telah mati,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat di sini, petang tadi.

Dr Mahmood Zuhdi berkata, apa yang lebih dikesalkan lagi apabila golongan ulama riuh membincangkan hal-hal kecil sehingga mengenepikan perkara yang lebih besar, sama ada kerana tiada kesedaran yang cukup atau sengaja membiarkannya ekoran bimbang kedudukan tergugat.

“Oleh itu, saya mengambil peluang untuk mengajak semua umat Islam di negara ini kembali kepada Al Quran dan Sunnah untuk menyelesaikan sebarang perbalahan yang berlaku.

“Kepada pemimpin agama, MDN berharap supaya masing-masing bersabar dan tidak menggunakan media massa untuk berbalah sesama sendiri kerana masyarakat akan memandang buruk kepada perbuatan itu,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya membentuk budaya kebencian kepada perbalahan pemimpin di kalangan mereka dan tidak bersikap sebagai pengadu domba yang meriah bersorak atas apa yang berlaku.

“Akhirnya, bagi pihak MDN kami berharap agar resolusi yang disampaikan pada konvensyen ini, tidak terlelap atau tertidur dalam lipatan fail di mana-mana pejabat mahupun tersimpan begitu saja sebagai satu lagia simpanan khazanah yang akan disimpan di muzium satu hari nanti.

“Justeru, kumpulan yang bakal dibentuk bagi tujuan susunan resolusi tersebut perlu terdiri daripada mereka yang benar-benar serius dan berani,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts