Aman Palestin agih 5 ratus ribu bantuan awal Ramadan di Gaza

KUALA LUMPUR: Selepas lima tahun mencuba, akhirnya pertubuhan bukan kerajaan, Aman Palestin, berjaya memasuki Semenanjung Gaza semalam, untuk menyampaikan sumbangan rakyat Malaysia secara langsung kepada penduduk Palestin, yang hidup dikepung Israel.

Delegasi Aman Palestin diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Awang Suffian Awang Piut, yang berjaya memasuki wilayah itu juga akan mengagihkan sumbangan rakyat Malaysia berjumlah lebih RM588,000 sebagai bantuan perubatan dan sumbangan awal Ramadan.

Mereka berjaya memasuki wilayah terkepung terbabit menerusi sempadan Rafah di Mesir, dengan menyertai misi keamanan antarabangsa, Konvoi Miles 2 Smile yang disertai 43 peserta pelbagai negara termasuk Jordan, United Kingdom, Afrika Selatan, Algeria dan Kuwait.

AWANG Suffian bersama dua petugas Aman Palestin dari Malaysia ketika menyertai Great Return March di Gaza, kelmarin.

Konvoi itu terpaksa mengambil masa lebih 20 jam sebelum berhasil melepasi sempadan Rafah berikutan kerenah birokrasi pihak berkuasa Mesir yang melakukan lima sekatan pemeriksaan keselamatan yang ketat dan panjang terhadap semua peserta bersama barang-barang bantuan yang dibawa.

Malah, untuk menyeberangi Terusan Suez, konvoi terbabit terpaksa menaiki feri kerana pihak berkuasa tidak membenarkan mereka melalui jambatan yang merentasi terusan terbabit.

Awang Sufian melahirkan rasa syukur kerana akhirnya Aman Palestin berhasil kembali memasuki wilayah Gaza selepas berusaha untuk berbuat demikian sejak lima tahun lalu.

“Selama ini, semua bantuan yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia dihantar melalui Aman Palestin Gaza menerusi transaksi perbankan.

“Kali ini, kami bersyukur kerana berpeluang kembali di bumi anbia ini bagi meninjau sendiri secara dekat kesengsaraan hidup penduduk Palestin yang dikepung rejim Zionis ini sambil menghulur sumbangan kepada mereka yang memerlukan sebagai persiapan menyambut ketibaan Ramadan tahun ini,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, semalam.

Susulan kejayaan memasuki Gaza kali ini, Awang Sufian mengambil kesempatan meninjau sendiri sekurang-kurangnya enam projek projek infrastruktur dan sosial yang sedang dijalankan Aman Palestin di Gaza sejak dua tahun lalu, membabitkan kos hampir RM30 juta hasil sumbangan rakyat Malaysia di seluruh Gaza.

Antara projek berkenaan termasuk pembinaan Masjid Imam Shafie; Maahad Tahfiz al-Quran Malaysia; Masjid al-Qassam dan

sekolah anak yatim Dar El-Fadeelah yang mampu menampung sehingga 250 penghuni.

Sejurus tiba kelmarin, Awang Sufian bersama rombongannya turut menyertai penduduk Palestin berkumpul di lapangan Great Return March di Jabaliah, Gaza, yang medan perhimpunan setiap Jumaat bagi menyuarakan bantahan terhadap Israel.

Ketika diberi peluang berucap pada perhimpunan itu, Awang Sufian turut menyuarakan suara perjuangan rakyat Malaysia bersama Palestin menyokong sepenuhnya perjuangan mereka dalam menentang kekejaman zionis menerusi gerakan Great Return March yang bermula sejak Mac 2018.

Sempena Ramadan ini, Aman Palestin melancarkan kutipan sumbangan daripada seluruh rakyat Malaysia untuk disampaikan kepada pelarian Palestin dan Syria di wilayah bergolak seperti Tebing Barat, Gaza, Lubnan, Syria dan Turki.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai sumbangan kepada pelarian Palestin dan Syria menerusi sesawang, www.amanpalestin.net. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts