Sudah menjadi kebiasaan bagi segelintir pekerja apabila hampir tiba waktu pukul lima petang, mereka mula berkemas untuk pulang tepat pada waktunya.
Akibatnya, solat Asar yang sepatutnya boleh didirikan pada awal waktu sering dilewatkan sehingga sampai di rumah.
Namun, kadangkala belum sempat tiba di destinasi, jalan raya tiba-tiba sesak, kereta bergerak perlahan, dan matahari semakin condong ke barat.
Tatkala azan Maghrib berkumandang, barulah mereka selesai mengangkat takbir solat Asar atau menyudahkan tahiyat akhir.
Persoalannya, bagaimana kedudukan solat Asar yang dilakukan hampir tamat waktunya itu? Adakah ia sah dan apakah hukumnya jika seseorang sengaja melambatkan solat tanpa sebab yang munasabah?
Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, menjelaskan bahawa sengaja melewatkan solat Asar sehingga hampir masuk waktu Maghrib adalah makruh dan tidak disukai syarak, walaupun solat tersebut tetap sah.
“Sengaja menunaikan solat di hujung waktu seperti Asar dekat waktu Maghrib dan menamatkan semua rakaat sebelum Maghrib adalah makruh. Namun, ia tetap sah menurut syarak,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.
Beliau menegaskan, tindakan itu menunjukkan sikap sambil lewa terhadap kewajipan dan menyerupai amalan orang munafik, sebagaimana diingatkan oleh Rasulullah SAW.
Ustaz Azhar turut memetik pandangan ulama muktabar, Syeikh Ibnu Hajar Al-Haytami, yang membenarkan seseorang melewatkan solat dari awal waktu dengan syarat seluruh rakaatnya dilaksanakan sebelum terbenam matahari.
“Kata Ibnu Hajar Al-Haytami dalam kitab Al-Fatawa al-Fiqhiyah al-Kubra, jika seseorang berbuat demikian, dia tidak berdosa walaupun tanpa sebarang keuzuran. Namun, sebaiknya amalan ini ditinggalkan kerana Nabi Muhammad SAW bersabda dalam hadis riwayat Imam Muslim: ‘Itulah solat orang-orang munafik yang menunggu matahari hampir terbenam, kemudian menunaikan empat rakaat dengan cepat, sujud seperti ayam mematuk makanan, dan tidak mengingati ALLAH kecuali sedikit sahaja,’” jelasnya.
Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menjelaskan bahawa berdosa jika seseorang sengaja melewatkan solat tanpa sebarang sebab.
“Sebaliknya, jika seseorang terlewat menunaikan solat kerana keuzuran yang dibenarkan syarak, ia tidak menjadi masalah, tetapi dia perlu segera menunaikan hak ALLAH,” katanya menerusi laman zulkiflialbakri.com.
Beliau menegaskan, ALLAH SWT amat menyukai mereka yang menunaikan kewajipan pada awal waktu, sebagaimana disebut dalam hadis Abdullah bin Mas’ud RA:
Beliau bertanya kepada Rasulullah SAW tentang amalan yang paling disukai ALLAH SWT, lalu Baginda SAW bersabda: “Menunaikan solat pada waktunya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Dr Zulkifli menambah, penting bagi kita menyempurnakan solat dengan sebaiknya kerana ia akan menjadi perkara pertama yang disoal di akhirat kelak.
“Semoga ALLAH SWT memberikan semangat kepada kita untuk terus menjaga solat dengan sebaiknya,” ujarnya.
Sumber: Sinar Islam
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








