Arab Saudi iktiraf TH pembimbing haji terbaik dunia Islam

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) berjaya merangkul Anugerah Labaittom daripada kerajaan Arab Saudi bagi kategori Perkhidmatan Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam (Best Awareness Program in the Islamic World) pada Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 di Jeddah, Arab Saudi.

Anugerah itu disampaikan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar.

Menurut Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im, Anugerah ini merupakan hadiah bermakna buat TH lebih-lebih lagi tahun ini merupakan ulangtahun TH yang ke-60.

“Anugerah ini juga merupakan pengiktirafan buat negara kerana berjaya melahirkan sebuah institusi unik yang kini menjadi contoh kepada negara Islam yang lain,” katanya.

Setiap tahun, TH menganjurkan kursus-kursus haji di tanah air secara fizikal dan dalam talian dengan penglibatan  lebih 500 Pengkursus Haji Tanah Air (PEKTA) dan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) untuk membantu para jemaah.

“Malaysia telah mendapat pengiktirafan antarabangsa atas usaha memberi bimbingan ibadat haji dan program kesedaran dalam aspek menjaga kesihatan kendiri, peradaban serta kepentingan kebersihan persekitaran,” katanya.

Antara kursus-kursus yang dianjurkan oleh TH adalah kursus asas haji, kursus intensif haji, kursus perdana haji dan kursus khas haji selain Muzakarah Haji yang diadakan setiap tahun bagi meningkatkan lagi keberkesanan bimbingan haji termasuk menambahbaik modul kursus haji.

Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang berlangsung 9 hingga 12 Januari 2023 disertai 56 buah negara termasuk Malaysia yang diwakili oleh TH.

Turut hadir semasa penyampaian anugerah tersebut adalah Pengerusi TH, Tan Sri Azman Haji Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH , Dato’ Sri Amrin Awaluddin, Pengarah Eksekutif Haji, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman serta pegawai TH di Arab Saudi. —AlHijrah Online

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts