Aspek perundangan diberi keutamaan perkasakan industri halal

KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam memacu negara untuk menjadi hab industri halal bertaraf dunia memberi penekanan terhadap semua aspek berkaitan halal, termasuk perundangan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata usaha penyelarasan dan pemantapan peruntukan undang-undang sentiasa giat dijalankan bagi memperkasakan industri halal.

Menurutnya, usaha ini membabitkan proses, prosedur serta kawalan pensijilan halal untuk seluruh negara.

“Asas rujukan Pensijilan Halal Malaysia adalah berdasarkan Malaysian Standard (MS), Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011), Akta Makanan 1983 (Akta 281), Akta Binatang 1953 (Semakan 2006), Akta Makanan Haiwan 2009, fatwa yang berkuat kuasa dan akta atau peraturan lain yang berkaitan dari semasa ke semasa.

“Berdasarkan terma-terma dan intipati daripada akta, fatwa semasa dan peraturan-peraturan berkaitan tersebut, ia didokumenkan menjadi Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) yang dikemas kini berdasarkan keadaan dan keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) di Dewan Rakyat, semalam.

Wan Hassan meminta Perdana Menteri menyatakan proses penggubalan satu Akta Halal bagi tujuan penyelarasan dan pemantapan peruntukan undang-undang mengenai proses, prosedur serta kawalan pensijilan halal untuk seluruh negara.

Sementara itu, Ahmad Marzuk berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menguatkuasakan pelaksanaan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020, pada Januari lalu.

Katanya, ini adalah untuk menggantikan manual prosedur yang dikeluarkan pada tahun 2014 bagi urusan pensijilan halal Malaysia.

Sebagai langkah untuk memperkasa perkhidmatannya, katanya JAKIM telah memperoleh akreditasi ISO/IEC 17065 sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf dunia.

“Kerajaan juga sentiasa berusaha untuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dengan menyemak dan mengkaji prosedur-prosedur pensijilan halal, standard Malaysia serta peruntukan undang-undang berkaitan halal,” katanya.

Selain itu, beliau berkata sistem serta aplikasi sedia ada di semua agensi berkaitan diperbaiki bagi memastikan ia mencapai objektif perkhidmatan.

Berhubung penggubalan akta khusus berkaitan halal, Ahmad Marzuk berkata, perkara ini memerlukan penelitian terhadap pelbagai undang-undang yang sedang berkuat kuasa, sama ada undang-undang kerajaan Persekutuan atau Negeri.

Katanya, ini bagi memastikan pelaksanaannya adalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan dan undang-undang sedia ada.

Katanya, kerajaan berpandangan bahawa penggunaan undang-undang sedia ada seperti Akta Perihal Dagangan 2011 dan undang-undang subsidiari di bawahnya, iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 serta enakmen di negeri-negeri masih relevan dan mememenuhi kehendak serta keperluan semasa. – HARAKAHDAILY

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts