Bank Islam serah sumbangan zakat RM105,000

 

JOHOR BAHRU: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyerahkan sumbangan zakat sebanyak RM105,000 kepada pelajar miskin, asnaf dan sekolah di negeri ini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin, berkata Bank Islam mengambil inisiatif itu bagi membantu kehidupan golongan berkenaan, sekali gus memeriahkan sambutan Aidilfitri mereka.

Daripada jumlah zakat itu, katanya, RM70,000 diagihkan kepada mahasiswa kurang berkemampuan di lima institusi pengajian tinggi, iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kolej Pengajian Islam Johor, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Segamat dan UiTM Kampus Pasir Gudang.

“Sebanyak RM35,000 pula diagihkan kepada 100 pelajar sekolah yang miskin, 40 asnaf terdiri daripada mualaf, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU), serta 10 sekolah di negeri ini untuk membantu memperbaiki kemudahan surau.

“Kami berharap segala inisiatif ini dapat membantu masyarakat yang memerlukan, selain memeriahkan lagi Ramadan dan sambutan Aidilfitri mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Iftar Amal Ihtimam Ramadan Bank Islam 2018 serta penyampaian sumbangan zakat itu, di sini, malam tadi.

Selain penyerahan zakat, Khairul berkata, Bank Islam mengagihkan sumbangan kuih raya kepada jururawat dan kanak-kanak di Wad Pedriatik Hospital Sultanah Aminah bagi menceriakan mereka.

Beliau berkata, sepanjang Ramadan ini, Bank Islam turut memperuntukkan RM800,000 bagi aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) lain di semua wilayah yang bank itu beroperasi.

“Antaranya, kami menyediakan juadah berbuka puasa percuma di Menara Bank Islam, Kuala Lumpur, untuk masyarakat bekerja yang tidak sempat pulang ke rumah, pemandu teksi, gelandangan dan pelajar.

“Selain itu, kami mengagihkan juadah berbuka puasa kepada rakan media yang terpaksa bertugas pada waktu berbuka,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts