Adik bongsu saya sering sakit ketika masih kecil. Nenek kemudian menukar namanya kerana beranggapan nama asalnya ‘terlalu berat’ untuk ditanggung. Selepas nama ditukar, adik saya tidak lagi kerap sakit seperti dahulu. Adakah kepercayaan ini benar atau sekadar kebetulan?
JAWAPAN:
Pemberian nama anak adalah perkara yang sangat diberi perhatian dalam syariat, kerana nama yang baik merupakan salah satu faktor pembentukan peribadi seseorang. Terdapat beberapa nas yang menunjukkan kepentingan ini. Antaranya, daripada Abu al-Darda’ RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari kiamat dengan nama kamu dan nama bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.” (Riwayat Abu Daud, 4948)
Sebahagian ulama menjelaskan bahawa terdapat hubungan tertentu antara nama seseorang dengan peribadinya. Imam Ibnul Qayyim rahimahullah menyebut bahawa akhlak dan perbuatan seseorang ada kaitannya dengan nama yang diberikan kepadanya. Nama yang baik boleh mendorong kepada akhlak yang baik, sebagaimana Nabi SAW dinamakan Muhammad kerana banyaknya sifat terpuji pada Baginda. Kadang-kadang seseorang malu dengan namanya sehingga ia mendorongnya berkelakuan selari dengan makna nama tersebut. [Lihat Tuhfah al-Maudud, hlm. 250]
Disebabkan hubungan ini, ulama membahaskan hukum menukar nama. Ibnul Qayyim membincangkannya dalam fasal ketiga kitab Tuhfatul Maudud, khususnya tentang galakan menukar nama kerana maslahat tertentu. [Lihat Tuhfatul Maudud, hlm. 129]
Antara dalil yang menunjukkan galakan menukar nama kurang elok ialah hadis daripada Abu Hurairah RA:
“Pada asalnya nama Zainab ialah Barrah. Lalu dikatakan kepadanya, ‘engkau memuji diri sendiri’. Maka Rasulullah SAW menukar namanya kepada Zainab.”
Daripada dalil-dalil ini, ulama membuat beberapa kesimpulan:
- Disunatkan menukar nama yang buruk atau tidak baik, seperti nama Abdul Ka’abah yang mengandungi unsur syirik.
[Lihat Tuhfatul Maudud, hlm. 133] - Digalakkan menukar nama kerana maslahat tertentu, walaupun nama itu baik pada asalnya. Contohnya Barrah (banyak berbuat baik) dan Khairunnisa (sebaik-baik wanita).
- Dianjurkan mengelakkan nama yang boleh membawa kepada kepercayaan sial, seperti Hazan yang bermaksud kesedihan, kerana ia boleh membuatkan seseorang mengaitkan musibah dengan nama tersebut.
[Lihat Syarh Muntaha al-Iradat, 1/615]
Adapun kepercayaan bahawa seseorang anak ‘tidak mampu menanggung’ nama kerana nama itu terlalu berat, tidak terdapat sebarang penjelasan berasas tentang hal tersebut. Malah, ia dikhuatiri termasuk dalam unsur khurafat. Khurafat ialah kepercayaan kepada sesuatu yang tidak memberi manfaat atau mudarat, serta tidak selari dengan akal waras dan realiti. [Lihat al-Mazahib al-Fikriah al-Mu’asiroh, 2/1186]
Kepercayaan sebegini juga bercanggah dengan akidah yang benar, kerana hanya Allah SWT yang memberi manfaat dan mudarat.
Berdasarkan hujah-hujah di atas, mempercayai nama sebagai ‘terlalu berat’ untuk ditanggung bayi adalah kepercayaan tanpa asas kukuh, dan sewajarnya dijauhi.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








