Bidang tahfiz negara dijamin terus dimartabat kerajaan

PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini tidak perlu bimbang kerana kerajaan akan tetap mempertahankan pengajian bidang aliran tahfiz dalam arus sistem pendidikan negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, ia terbukti apabila 1,483 institusi tahfiz swasta di seluruh negara didaftarkan sehingga kini.

“Kerajaan juga sentiasa peka, melihat dan meneliti semua aspek dalam usaha memartabatkan bidang tahfiz di negara ini meliputi tahap kualiti, keberhasilan serta prospek masa depan selain turut melibatkan aspek tadbir urus dan kewangan sambil berharap, semoga usaha itu berterusan sehingga negara capai impian melahirkan generasi al-Quran, Insya Allah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Bersama Pelajar Baharu Tajaan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) 2021 melibatkan 232 pelajar dengan biasiswa berjumlah RM3.3 juta.

Program mula dilaksanakan pada 2012 selaras keputusan mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam ke-49 pada 2009 untuk para huffaz menyambung pengajian lebih tinggi.

Sehingga kini, SPH berjaya menaja sejumlah 1,177 pelajar termasuk enam dalam peringkat doktor falsafah dan 50 lagi untuk peringkat sarjana, dengan kos keseluruhannya RM62 juta.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, kali ini ada 32 pelajar melanjutkan pengajian di pelbagai universiti di Mesir, Jordan dan Indonesia dalam bidang antaranya perubatan dan kejuruteraan.

“Pelajar bergelar al-huffaz ini diharap mewarnai sosialisasi negara kita sebagai doktor, saintis, jurutera dan lain-lain yang bakal mengembalikan era ketamadunan Islam dahulu,” katanya.

Usaha kerajaan ujarnya, mengarusperdanakan aliran tahfiz dalam sistem pendidikan nasional juga diharap menjadikan institusi itu pilihan utama masyarakat dan bukan lagi alternatif ketiga.

Beliau memberi contoh Dasar Pendidikan Tahfiz Negara yang diperkenalkan kerajaan pada 2016 dan penubuhan Majlis Tahfiz Negara pada 2019 sebagai jawatankuasa akreditasi khas sebagai menyelaras mekanisme pengiktirafan, pensijilan dan penarafan huffaz serta institusi selain peluang latihan kemahiran sistematik teknikal dan vokasional sejajar Revolusi Industri ke-4.

“Alhamdulillah, tahun ini peruntukan khas kerajaan persekutuan juga diluluskan sebanyak RM100 juta untuk kos selenggara yang diagih berperingkat kepada 1,066 institusi,” katanya.

Abdul Aziz turut berpesan kepada semua pelajar tajaan SPH itu agar memberikan prestasi cemerlang dan memegang amanah tanggungjawab sebagai hafiz dalam kehidupan seharian sekali gus diseru menjadi seumpama ‘al-Quran bergerak’ di muka bumi Allah selain membalas jasa dengan menabur semula bakti kepada agama, bangsa dan tanah air. -UTUSAN ONLINE

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts