Bina keluarga sejahtera untuk bentuk Keluarga Malaysia

SHAH ALAM – Bina keluarga sejahtera untuk membentuk Keluarga Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.

Menurut beliau, ketua keluarga perlu mendidik anak-anak bagi memastikan setiap perbuatan yang dilakukan berasaskan agama iaitu Islam.

“Ini kerana, musuh Islam mahu merosakkan satu bangsa dan negara dengan merosakkan keluarga dahulu. Sebab itu mereka galakkan anak muda hari ini untuk melakukan pergaulan bebas.

“Tujuannya untuk merosakkan keluarga. Dia galak anak muda untuk melakukan pergaulan bebas yang akhirnya berlaku penzinaan. Bila berzina, lahirlah anak yang kita tidak tahu dari mana sumbernya. Maka, dari sini rosaknya sesebuah keluarga.

Beliau berkata demikian pada Forum Khas: Keluarga Malaysia yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail pada Sabtu.

Turut menjadi panelis, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Pembina Yayasan Peradaban Islam dan AQL Islamic Center, Bachtiar Nasir.

Mengulas lanjut, Idris berkata, kementeriannya telah meletakkan lima inisiatif bagi memastikan Keluarga Malaysia dalam keadaan harmoni dan sejahtera.

Jelas beliau, antaranya ialah ketetapan mental jasmani dan rohani; pemantapan sistem pendidikan Islam; pemantapan institusi keluarga sosial dan komuniti Islam; pemantapan institusi masjid dan surau serta pemantapan sosial ekonomi ummah.


“Ini adalah bagi membawa masyarakat mengenal agama dan dekat dengan al-Quran. Ini tanggungjawab kerana agama tidak akan berkembang kalau ustaz sahaja yang bercakap. Semua kena bercakap termasuk penghantar makanan, tukang gunting rambut dan sebagainya.

“Kalau fikir bab dunia, semua sudah cukup. Sekarang perlu fikir bekalan apa yang kita boleh bawa.

“Kita perlu menjaga agama, masyarakat dan sama-sama membina Islam yang harmoni dan sejahtera agar orang bukan Islam melihat bahawa Islam membawa kepada keharmonian dan kesejahteraan,” ujarnya.

Oleh itu, katanya, umat Islam digalakkan untuk mendekati al-Quran agar tidak mendatangkan musibah kepada keluarga, masyarakat dan negara. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts