Boikot biar bijak, elak rakyat Malaysia tertindas

Kuala Lumpur: Konflik Israel-Palestin yang memuncak sejak 7 Oktober lalu meragut belas ribu rakyat Palestin di Gaza, sebuah wilayah yang terkepung sejak sekian lama.

Kesengsaraan turut dirasai rakyat Palestin di Tebing Barat, wilayah diduduki rejim Zionis apabila mereka berterusan ditindas, diperangi, ditahan dan dinafikan hak kemanusiaan.

Penderitaan mangsa konflik ini terus mendapat perhatian dunia sehingga mencetuskan gerakan solidariti termasuk memboikot produk yang ada kaitan secara langsung dan tidak langsung dengan Israel, dan Malaysia pastinya tidak terkecuali.

Namun ramai tidak menyedari boikot tanpa usul periksa mendatangkan kemudaratan kepada ratusan ribu pekerja di negara ini yang berdepan risiko kehilangan pekerjaan sedangkan syarikat tidak bersekongkol dengan Israel.

Pensyarah di Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris, berkata masyarakat khususnya umat Islam perlu bijak membuat pertimbangan antara kemudaratan dengan kemaslahatan akibat tindakan itu.

“Wajib bertindak sekiranya syarikat itu benar-benar menindas orang Islam tetapi perbuatan terbabit perlu mengikut keadaan termasuk menilai implikasi terhadap pekerja.

“Dalam konteks ini, lebih baik menilai dahulu maslahat serta mudaratnya akibat tindakan terlalu beremosi atau berdasarkan sangkaan, sedangkan ia menyebabkan kerugian umat dan syarikat Islam hingga menyebabkan ekonomi menguncup,” katanya.

Sebelum ini juga Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan boikot yang dilakukan dengan terburu-buru tanpa berfikir panjang hanya mendatangkan kemudaratan lebih besar.

Ia kerana matlamat boikot itu perlu jelas, sikap tabayyun (memastikan maklumat syarikat terbabit secara langsung dengan Israel), di samping jihad terbabit wajar dilaksanakan secara bijak dan berhikmah termasuk mengambil kira pengecualian dalam kes terpencil serta nasib golongan pekerja syarikat berkenaan.

Pastikan maklumat tepat

Mengulas lanjut Khalif Muammar berkata, masyarakat juga perlu memastikan ketepatan maklumat dan jika terdapat bukti nyata syarikat tertentu menyokong Israel, tindakan boikot dibenarkan.

“Kesan mudarat boikot tidak berhemah jauh lebih besar daripada melumpuhkan ekonomi Israel serta sekutunya kerana ia hanya membuatkan rakyat di negara ini menanggung akibatnya.

“Selain itu, ramai dalam kalangan orang bukan Islam tidak memusuhi Islam, mereka bersolidariti dengan umat Islam dan menentang keganasan… tindakan terus boikot akan menjejaskan ekosistem dan keperluan harian,” katanya.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman, berkata umat Islam perlu bertindak berlandaskan ilmu dan tidak seharusnya disebabkan kebencian atau seruan menyertai gerakan boikot.

“Banyak perniagaan di negara ini diasaskan di bawah francais tetapi ramai kalangan mereka menyatakan pendirian tidak menyokong atau mempunyai hubungan langsung dengan Israel.

“Ia milik syarikat tempatan dan dikelolakan orang Islam, tetapi (tindakan) kita hanyalah menjejaskan perniagaan mereka, sedangkan mereka itu berniaga atas perniagaan francais dan syarikat terbabit saban tahun mengeluarkan jutaan ringgit untuk zakat yang akhir bermanfaat kepada umat Islam.

“Dalam konteks agama, hukumnya harus (tidak salah) berniaga dengan orang bukan Islam (selagi ia halal) dan hanya segelintir menyatakan sokongan penuh kepada Israel,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts