CNN berjaya rakam kem tahanan minoriti Islam di Xinjiang

 

PETALING JAYA: Wartawan CNN berjaya merakam kem tahanan yang direka China untuk menahan orang Uighur dan minoriti Islam lain ketika mencari seorang wanita, Adibya Hayrat yang ditahan apabila pulang ke China pada 2017, dan 2 anak perempuan berusia 7 dan 8 tahun.

Matt Rivers ke Xinjiang untuk mencari Hayrat yang ditahan di salah satu kem penahanan kontroversi itu, atau “pusat latihan vokasional sukarela” untuk membasmi “ekstremisme Islam”, menurut kerajaan China.

Laporan CNN memaparkan pusat-pusat tersebut dikelilingi tembok tinggi, kawat berduri dan menara pengawal, kelihatan seperti sebuah penjara.

“Imej-imej seperti ini jarang dilihat, hanya segelintir orang pernah melihat kem-kem seperti itu dengan dekat kerana kerajaan China cuba menghalang pemberita seperti kami daripada melihatnya,” katanya.

China berkata tiada apa-apa yang disembunyikan di sana, tetapi bukan sahaja mereka menghalang cubaan untuk merakam atau masuk ke kem-kem itu, mereka juga menghalang pemberita bercakap dengan orang-orang yang tahu apa-apa tentang kem-kem itu, kata Rivers.

 

 

“Kami cuba bercakap dengan seorang lelaki yang membawa makanan untuk abangnya yang menurutnya ditahan dalam kem itu, tetapi sebelum kami sempat bertanya tentang kehidupan dalam kem itu, pasukan keselamatan tanpa seragam mengepung kami dan menyuruh lelaki itu mendiamkan diri,” katanya.

Menurut Rivers, Hayrat sudah dibebaskan tetapi kerajaan China menahan pasportnya. Keluarganya berkata Hayrat tersadai di China bersama 2 anak perempuan itu, dan suaminya tidak dapat menghubunginya.

Amerika Syarikat berkata lebih 1 juta orang Uighur, Kazakh, Kyrgyz dan orang-orang Islam lain menderita kerana penahanan sewenang-wenangnya, buruh paksa, penyeksaan dan kematian dalam kem-kem di Xinjiang.

Beijing pula bertegas kem-kem tersebut “pusat latihan vokasional” untuk menjauhi orang daripada ekstremisme dan mengintegrasi mereka semula ke dalam masyarakat, di wilayah dilanda keganasan yang dipersalahkan ke atas pemisah Uighur atau Islamis. – FMT

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts