Dakwaan G25 sesat: Mufti Perak

 

BANGI – Pendirian liberalis, kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 yang membidas undang-undang menghukum seseorang berlandaskan kesalahan agama dengan alasan ‘antara dia dengan Tuhan’, adalah sesat dan menyesatkan.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, kumpulan berkenaan telah terpengaruh dengan slogan kebebasan yang dicanang oleh golongan liberal di dunia Barat.

Beliau menegaskan, Islam memandang serius jenayah murtad dengan mengenakan hukuman yang cukup berat.

“Khalifah Abu Bakar As-Siddiq walaupun terkenal dengan kelembutan beliau, tetapi tetap tegas dalam menangani golongan murtad.

“Ini jelas menunjukkan bahawa jenayah murtad adalah satu perkara yang serius dan kerajaan bertanggungjawab dalam mengawal gejala tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, G25 membidas undang-undang yang menghukum seseorang berlandaskan kesalahan agama yang dilakukan.

Perkara itu merupakan laporan dalam kertas kajian yang dibentangkan oleh pengerusi jawatankuasa, Asiah Abu Samah yang juga wakil G25 bertajuk “Administration of Matters Pertaining to Islam”.

Jelas G25 dalam laporan itu, tindakan undang-undang terhadap individu tidak bersolat Jumaat misalnya, adalah tidak wajar dan mengatakan perkara dilakukan seorang Islam terhadap agamanya adalah antara individu itu dengan tuhan.

Laporan itu juga mengatakan, undang-undang berkenaan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.

 

 

“Perkara 11(1) memberi jaminan kepada semua orang di Malaysia, bukan hanya warganegara atau bukan Islam, tiga hak yang berbeza iaitu hak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agamanya.

“Tidak ada asas yang dibenarkan Perlembagaan untuk melarang penganutan agama seseorang,” katanya.

Selain itu, G25 mendakwa, tiada orang boleh dipaksa mempercayai tuhan dan tiada mana-mana orang boleh dipaksa kekal dalam Islam.

“Bagaimanapun sekiranya dia tetap mahu meninggalkan Islam, maka itu antaranya dengan tuhan. Tidak ada hukuman duniawi yang diperuntukkan dalam al-Quran,” dakwa G25.

Mengulas lanjut, Harussani menyifatkan, kandungan kertas kajian yang dibentangkan kumpulan itu sangat tidak munasabah dan dangkal.

Beliau berkata, antara fakta sejarah yang disalah faham oleh kumpulan berkenaan adalah mengenai undang-undang Islam antara negeri-negeri yang dilihat tidak seragam.

Katanya, setiap negeri mempunyai adat resam dan budaya berbeza, bahkan kedatangan Islam ke negara ini adalah untuk meraikan adat dan budaya masing-masing selagi tidak bercanggah dengan syarak.

“Sekiranya didapati bercanggah, maka Islam membetulkannya mengikut prinsip syarak dan memberi alternatif yang lebih harmoni dan rahmah. Inilah keistimewaan yang ada pada Islam yang begitu meraikan,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts