Dulu gagap, kini beliau da‘i dikagumi: Dr Zakir Naik

 

PERTAMA kali saya temui beliau 16 tahun lalu di Kuala Lumpur, badannya kurus dan janggutnya hitam.

Empat hari lalu, ketika bertemu dengannya ketika beliau mengunjungi kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam, badanya lebih berisi dan janggutnya sudah banyak beruban. Hanya itu perbezaan yang nampak dalam diri beliau; lain semuanya sama.

Pendekatan dan penyampaiannya ketika berhujah, ketajaman fikiran dan kemampuannya mengingati fakta dan ayat-ayat al-Quran, Injil dan kitab agama lain, umpamanya, sangat meyakinkan mereka yang mendengarnya.

Orang yang saya maksudkan ialah Dr Zakir Abdul Karim Naik, 51 tahun, pendakwah dunia terkenal yang dikagumi berjuta manusia di seluruh dunia kerana bakatnya, dan tidak disenangi sesetengah pihak kerana ‘ancaman’ daripada perjuangannya dalam usaha mencapai kedamaian dan menyebarkan syiar Islam ke seantero dunia.

Bahkan pendakwah hebat dunia, Allahyarham Sheikh Ahmed Deedat, yang menyampaikan beribu-ribu syarahan di seluruh dunia, berdebat dengan, dan mempunyai berjuta-juta pengikut memberi penghargaan kepada beliau.

Ahmed Deedat memberitahu Zakir: “Anda mencapai dalam empat tahun apa yang saya capai dalam tempoh 40 tahun.”Kini pun, di mana sahaja beliau pergi, beliau terus digelar Ahmed Deedat Dua, terutama atas kemampuannya mematah dakwaan ketua-ketua agama lain, dengan hujah mantap lagi meyakinkan.Saya pernah menulis bahawa kisah di sebalik kemasukan Zakir dalam bidang public speaking adalah menarik dan mengagumkan seperti pencapaiannya.

Ketika beliau belajar menjadi doktor perubatan di universiti hampir 30 tahun lalu, Zakir ditolak ke pentas oleh rakan-rakan untuk bercakap mengenai perbandingan agama apabila penceramah yang dijadualkan tidak muncul.

Beliau tersenyum apabila saya ingatkan kembali peristiwa silam itu. Beliau menganggap yang melonjakkan tugasnya dalam kerja dakwah sebagai kehendak ALLAH.“Saya tidak mahu naik pentas dan bercakap masa itu bukan sahaja kerana ia adalah rancangan pada saat akhir, tetapi kerana saya gagap,” katanya tanpa berselindung.

Beliau naik pentas dengan perasaan gementar dan mahu tak mahu, tetapi peristiwa itu mengubah segalanya dalam perjuangannya mencapai kedamaian.“Selepas saya berucap, rakan-rakan bagi tahu bukan sahaja saya tidak gagap, malah hujah saya meyakinkan,” katanya.

Sejak itu, beliau menjelajah satu negara ke satu negara untuk bercakap mengenai agama kepada ribuan manusia, terutama yang berbahasa Inggeris.Setakat ini Zakir sudah naik pentas lebih 2,000 kali dan masih mempunyai lebih 4,000 undangan.

“Kalau layan semua, 10 tahun urusan saya jelajah sana sini untuk beri ceramah tak habis,” jelas nya pada pertemuan baru-baru ini.Dalam ceramah-ceramah di Malaysia, beliau menyentuh mengenai salah faham tentang Islam, juga isu poligami dan poliandri.Beliau juga menyentuh, antaranya, mengenai “Apakah Islam disebarkan dengan mata pedang?”, “Apakah umat Islam itu fundamentalis atau pengganas, “Makan makanan bukan sayuran”, dan “Kaedah sembelihan dalam Islam”.

Beliau juga pengasas dan Presiden Yayasan Penyelidikan Islam berpusat di Mumbai, tempat kelahirannya.Kegiatan yayasan itu digantung pihak berkuasa selama lima tahun kerana dikaitkan dengan keganasan dan penggunaan dana yang ditolak bulat-bulat oleh penceramah terkenal dunia itu.

“Saya tidak pernah lakukan pemberontakan atau keganasan terhadap manusia sepanjang hidup. Saya hanya sampaikan mesej kedamaian kepada seluruh manusia.“Ada beberapa pihak yang tidak mahukan kedamaian wujud di dunia ini. Jadi, untuk merealisasikan perkara tersebut, pihak terbabit membuat tuduhan tidak berasas terhadap saya,” tegasnya.

Di Malaysia sekumpulan individu telah failkan kes untuk isytihar beliau sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Beliau banyak muncul dalam program televisyen peringkat antarabangsa dan ditemu ramah mengenai isu hak wanita dalam Islam, sains moden dan sekularisme.

Debat Zakir yang paling diingati adalah di Chicago pada 2000 dengan seorang doktor dan mubaligh Amerika Syarikat Dr William Campbell mengenai Bible dan al-Quran dari sudut sains. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts