GENEVA, 5 JAMADILAKHIR – Perang Gaza yang berlarutan selama dua tahun serta sekatan ekonomi di Tebing Barat yang dikuasai Israel telah membawa kepada kejatuhan ekonomi Palestin paling serius dalam sejarah, sekali gus menghapuskan kemajuan pembangunan selama beberapa dekad.
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ekonomi Palestin di seluruh Tebing Barat dan Gaza merosot sebanyak 30 peratus pada 2024 berbanding 2022—tahun rujukan yang digunakan bagi menilai kesan konflik Israel-Hamas yang berterusan selama dua tahun.
Laporan oleh Agensi Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD) menyatakan bahawa kejatuhan ini adalah yang paling drastik sejak pengumpulan data bermula pada 1972, jauh mengatasi kemerosotan ekonomi ketika konflik besar terdahulu termasuk Intifada Kedua selepas kegagalan rundingan damai pada 2000.
“Apa yang berlaku hari ini amat membimbangkan. Operasi ketenteraan yang berpanjangan, bersama sekatan yang telah lama dikenakan, menolak ekonomi wilayah Palestin yang diduduki ke dalam kemelesetan terdalam pernah direkodkan,” kata Timbalan Setiausaha Agung UNCTAD, Pedro Manuel Moreno dalam sidang media di Geneva.
Laporan itu juga menyebut bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita merosot kembali ke paras tahun 2003, sekali gus memadamkan kemajuan pembangunan selama 22 tahun dan menjadikannya antara 10 krisis ekonomi paling buruk di dunia sejak 1960.
Kemusnahan besar-besaran di Gaza akibat perang dua tahun antara Israel dan Hamas bermakna wilayah tersebut akan sangat bergantung kepada bantuan antarabangsa untuk bertahun-tahun akan datang.
“Ia mungkin mengambil masa berdekad-dekad sebelum Gaza kembali menghasilkan lebih daripada apa yang pernah dihasilkan sebelum konflik dan pulih sepenuhnya—dan itu pun hanya jika semua keadaan bergerak ke arah yang positif,” ujar Ahli Ekonomi UNCTAD, Rami Al Azzeh.
Walaupun perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober, serangan udara Israel masih berlaku, bantuan masuk dengan sangat perlahan, keadaan Gaza terus genting, dan risiko pembahagian wilayah semakin meningkat di bawah rancangan Trump.
KDNK per kapita di Gaza kini hanya AS$161 setahun atau kira-kira 44 sen seorang sehari, angka yang digambarkan Al Azzeh sebagai yang terendah pernah dicatat di mana-mana tempat di dunia.
Laporan PBB itu turut mendapati bahawa Tebing Barat mengalami kemerosotan paling serius dalam sejarah, dipacu sekatan pergerakan dan akses, serta kehilangan peluang ekonomi.
Keganasan pelampau peneroka Yahudi yang semakin meningkat terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat turut menjejaskan petani untuk mengakses tanaman dan ternakan mereka, kata pegawai UNCTAD, Mutasim Elagraa.
“Itu adalah salah satu daripada banyak faktor yang jelas merosakkan ekonomi Palestin dan memburukkan lagi tekanan ekonomi sedia ada,” katanya.
Sumber: TV Pertiwi
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








