Gan wajibkan semua pekerja Islam bersolat, tutup aurat

 

KOTA BHARU: Mewajibkan solat lima waktu dan berpuasa sepanjang Ramadan, antara yang ditekankan pemilik Link Holders Packaging kepada semua pekerja yang beragama Islam, walaupun beliau bukan muslim.

Lebih menakjubkan, Gan Leong Piow, 72, turut mengadakan solat hajat setiap tahun di kilangnya, yang terletak di Pengkalan Chepa di sini, selain mewajibkan semua pekerja wanita berpakaian menutup aurat.

Malah, kesemua 55 pekerjanya adalah Melayu dan prinsip dipegang sejak mula berniaga 42 tahun lalu itu masih sama, iaitu hanya mengambil pekerja Melayu, walaupun ada permintaan daripada kaum lain.

Disebabkan sifatnya itu, tidak hairanlah bapa kepada empat cahaya mata itu digelar ‘Haji Ghani’ dalam kalangan rakan-rakannya, selain kepetahannya menggunakan loghat Kelantan.

Gan yang mengusahakan syarikat pembungkusan minyak masak dan gula itu berkata, sejak mula membuka perniagaan 42 tahun yang lalu, sudah berazam hanya mengambil pekerja Melayu sahaja, bagi memastikan keselesaan pekerja supaya tidak bercampur.

“Peraturan saya tetapkan juga sudah sebati dalam kalangan pekerja iaitu setiap kali Ramadan diwajibkan berpuasa dan mesti solat segera sebaik masuk waktu, walaupun ketika itu sedang sibuk.

“Saya menyediakan bilik khas solat berasingan untuk pekerja lelaki dan perempuan bagi memastikan mereka tidak meninggalkan solat. Saya tidak solat kerana bukan Islam, namun saya wajibkan mereka patuh dengan ajaran agama mereka.

“Di kilang saya juga tidak dibenarkan membawa masuk benda haram. Disebabkan itu setiap tahun kami akan mengadakan solat hajat supaya dipermudahkan segala urusan kami,” katanya ketika ditemui di kilangnya.

Gan berkata, bagi memastikan tiada jurang di antara pekerja dan majikan, dia tidak membenarkan pekerja memanggilnya dengan gelaran Boss, sebaliknya meminta mereka hanya memanggil ‘Uncle’ tidak kira pekerja muda atau tua.

“Hampir kesemua pekerja saya sudah bekerja berbelas hingga puluhan tahun kerana selesa dengan pendekatan ini.

“Saya tidak pernah berkira dengan pekerja. Setiap pekerja yang mahu mengerjakan umrah, semestinya saya akan menyumbang 50 peratus daripada kos keseluruhan.

“Memang saya tidak pernah sampai ke Makkah, namun duit saya sentiasa sampai di sana,” katanya sambil berseloroh.

Menyifatkan kehidupannya sebati dengan orang Melayu kerana hampir kesemua rakannya juga Melayu, Gan berkata, sebarang pertolongan atau sumbangan yang dihulurkan tidak mengira kaum dan agama.

“Orang Islam datang jumpa saya untuk siapkan rumah, saya bantu. Orang minta sumbangan pembinaan masjid, saya hulur dan mereka yang meninggal dunia di Makkah beberapa tahun lalu akibat kren tumbang, saya juga bantu.

“Kenapa perlu saya bantu orang Cina sahaja sedangkan orang Melayu pun sama juga dengan kami. Apa yang membezakan kami hanya agama sahaja.

“Bagaimanapun tahun ini agak berbeza kerana tidak mampu mengadakan majlis solat hajat disebabkan COVID-19. Selalunya saya panggil imam dan budak tahfiz untuk program ini setiap tahun,” katanya yang syarikatnya turut dibantu isteri dan tiga anak.

Beliau yang berasal di Kampung Atas Paloh, mengakui sentiasa menjadi perhatian dalam kalangan orang ramai kerana sikapnya yang sentiasa memberi salam, namun tindakannya itu sudah sebati, bukannya semata-mata untuk menarik perhatian. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts