Gerakan SalamSG’ galak jemaah kembali ke masjid

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan pihak masjid mengambil inisiatif menyuntik nafas baharu bagi mengajak masyarakat menghidupkan semula kehidupan beragama mereka.

Dengan kelonggaran lebih banyak langkah keselamatan COVID-19, jemaah boleh menjangkakan lebih banyak program yang dianjurkan secara hibrid bukan sahaja di ruang online seperti waktu pandemik tapi juga secara fizikal di masjid bermula Ramadan ini hingga Aidiladha nanti.

Dinamakan ‘Gerakan SalamSG 2022’, usaha terbaru itu akan menyelaraskan kesemua program masjid dan menyenaraikannya di lelaman web Muslim.SG, lapor mediacorp.

Selain kelas-kelas agama, terdapat juga kegiatan amal seperti pengagihan pek habuan serta ibadah korban pada Aidiladha.

Bertemakan ‘Suburkan Salam. Sebarkan Rahmah’ bagi mencerminkan keadaan mencabar yang dihadapi masyarakat sekarang ini dan gerakan itu menggantikan kempen Sentuhan Ramadan yang dahulunya dianjurkan pada setiap bulan puasa dan acara di bawah Jawatankuasa Korban Masjid-Masjid Singapura (JKMS).

Program ‘Gerakan SalamSG 2022’ akan berlangsung sepanjang tempoh tiga bulan, dari Ramadan sehingga Zulhijjah, sekali gus diharap dapat mencetus perubahan sikap masyarakat dalam berdepan dengan norma-norma baru.

Di majlis pelancarannya, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman berkata, masyarakat dapat memanfaatkan kedua-dua platform iaitu fizikal dan online untuk memperkayakan pengalaman beribadah mereka sepanjang Ramadan ini.

“Ini menunjukkan kita mempunyai satu kesinambungan di antara dunia fizikal kita yang mula kita buka dengan dunia alam maya yang sentiasa ada yang telah kita kecapi ataupun meraih keberkesanannya sebelum ini.

“Apa yang kita ingin lakukan dalam gerakan ini adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat, apa yang kita kecapi sebelum ini tidak harus tinggalkan, langsung kita boleh sambungkan dalam perjalanan digital kita di mana ramai yang masih belum fasih menggunakan aplikasi-aplikasi online untuk memudahkan perjalanan mereka untuk kembali ke masjid,” katanya yang juga adalah Menteri Kedua Pendidikan.

Sepanjang Ramadan ini, lebih 2,000 sukarelawan terlatih akan berkhidmat di masjid-masjid merata negara untuk membantu para jemaah yang kurang cekap menggunakan teknologi agar mereka dapat memanfaatkan khidmat digital masjid seperti membayar zakat secara online dan menempah slot bagi solat tarawih.

Di samping itu, Dr Maliki juga mahu melihat lebih ramai jemaah kembali beribadah di masjid pada Ramadan ini dalam keadaan selamat tanpa mengabaikan langkah pengurusan keselamatan (SMM) yang dikuatkuasakan.

“Gerakan ini juga bertujuan menggalakkan lebih ramai untuk datang ke masjid dalam suasana pergerakan yang masih dalam lingkungan SMM. Walaupun SMM sudah dilonggarkan, kita tidak harus mengambil sambil lewa dan saya harap mereka akan dapat terus menjalankan kegiatan-kegiatan seharian mereka dengan memastikan keselamatan mereka sendiri,” kata Dr Maliki.

Antara contoh acara hibrid tersebut turut dipamerkan kepada para hadirin Majlis Pelancaran ‘Gerakan SalamSG 2022’ di Masjid Mujahidin, termasuk bacaan al-Quran secara bergilir-gilir oleh dua orang qari, seorang secara online dan seorang lagi fizikal dengan menggunakan kaedah penstriman langsung menerusi imbasan kod QR.

Usaha terbaru ini disambut baik masjid di sini dengan penyampaian kandungan yang lebih teratur dan boleh meraih jangkauan yang lebih luas apabila dilakukan secara hibrid.

“Sebagai sokongan kepada SalamSG, masjid memang sudah melakarkan program cuma dari segi kandungan atau pengisian akan diselarikan dan diselaraskan dengan mesej SalamSG agar semua masjid seluruh Singapura menyampaikan mesej yang sama iaitu Menyuburkan Salam dan Menyebarkan Rahmah,” kata Pegawai Dakwah Masjid Al-Muttaqin, Ustaz Muhammad Hanifatunni’man Mohamad Hasbi.

Selain itu, terdapat juga masjid yang membuat persiapan secara fizikal untuk menyambut kedatangan lebih ramai jemaah pada Ramadan ini.

Ini termasuk Masjid Pusara Aman yang sudah mengatur pelbagai program menarik sepanjang bulan puasa ini.

“Dengan norma-norma baru tahun ini, Masjid Pusara Aman melakukan beberapa kerja peningkatan dari segi ruang-ruang solat menampung lebih ramai jemaah. Untuk SalamSG, kami juga mengalu-alukan jemaah untuk menghadiri kelas online dan meneruskan kehadiran mereka dalam bulan Ramadan ini,” kata Duta Khidmat Ramadan Masjid Pusara Aman, Fadilah Ismail.

Mereka juga adalah antara 100 wakil masjid dan kakitangan MUIS yang menghadiri majlis pelancaran ‘Gerakan SalamSG 2022’ hari ini. – AGENSI

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
13
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts