Golongan ilmuwan perlu jadi pembimbing umat Islam: Raja Zarith Sofia

 

KUALA LUMPUR: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris melihat golongan ilmuwan perlu memainkan peranan bagi membimbing umat Islam hari ini yang terdedah dengan pelbagai kecelaruan, terutama dalam aspek pemikiran dan amalan agama.

Raja Zarith Sofiah bertitah, pengaruh media sosial antara faktor masyarakat tidak lagi merujuk kepada golongan ilmuwan, sebaliknya mencari jalan mudah untuk menjawab pelbagai persoalan atau kekeliruan.

“Pada masa kini, dapat dilihat ada dalam kalangan umat Islam yang menolak pandangan dikeluarkan jabatan agama dan lebih senang merujuk kepada individu atau kumpulan tertentu yang bukan dalam kalangan ilmuwan Islam.

“Bagaimanapun, demi masa depan generasi akan datang, legasi keilmuan yang ditunjangi pakar serta ilmuwan Islam yang menjadi tradisi sejak ribuan tahun lalu perlu dipertahankan,” titah baginda pada majlis perasmian dan penamaan semula Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofia (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, pada Sabtu.

Turut mencemar duli, Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah, Raja Puan Muda Perak, Tuanku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.Yang turut hadir, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar.

Baginda bertitah, kejayaan tamadun Islam pada masa lampau banyak dibantu oleh kebijaksanaan ilmuwan, kewujudan institusi agama yang hebat dan diperkukuhkan lagi dengan sokongan pemerintah.

Pada majlis sama, pengasas dan bekas pengarah CASIS, UTM, Prof Dr Wan Mohd Noor Wan Daud turut diumumkan sebagai penyandang pertama Kursi Pemikiran Islam Syed M Naquib al-Attas di RZS-CASIS.

RZS-CASIS yang dahulunya dikenali dengan nama CASIS ditubuhkan sejak 2011 melaksanakan pelbagai kajian berkaitan Islam, sains dan ketamadunan, selain turut berhasrat melahirkan ilmuwan yang berkemampuan menghasilkan penulisan meliputi pemikiran Islam kontemporari. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts