Gza milik Isr43l, Rakyat P@lest!n adalah ‘tetamu’ – Menteri Zionis

TEBING BARAT – Seorang menteri kanan Israel mencetuskan kecaman antarabangsa selepas mendakwa bahawa Gaza adalah milik Israel, manakala rakyat Palestin yang tinggal di wilayah itu hanyalah dianggap sebagai “tetamu”.

Menteri Kebudayaan Israel, Miki Zohar, membuat kenyataan berkenaan dalam satu temu bual bersama penyiar awam Israel, Kan, pada Khamis, ketika mengulas cadangannya untuk menafikan peruntukan dana kepada industri perfileman Israel.

Menurut laporan The Times of Israel, Zohar menyuarakan kemarahannya susulan penganugerahan Ophir Award, anugerah filem paling berprestij di Israel, kepada sebuah filem bertajuk The Sea. Filem itu mengisahkan seorang kanak-kanak lelaki Palestin dari Tebing Barat yang diduduki, yang dinafikan permit untuk mengunjungi pantai di wilayah Palestin yang berada di bawah penjajahan Israel.

Zohar mendakwa filem tersebut menggambarkan tentera Israel secara negatif dan menjadikan Israel kelihatan seperti sebuah “negara apartheid yang membunuh rakyat Palestin.”

Bagaimanapun, pihak penyiar radio menolak dakwaan itu dengan menyatakan bahawa filem berkenaan hanya memaparkan realiti sebenar penjajahan.

“Mungkin anda mempunyai masalah dengan penjajahan itu sendiri, tetapi bukan dengan filem tersebut, kerana filem itu tidak menipu tentang realiti yang berlaku,” kata penyiar berkenaan.

Dalam temu bual sama, Zohar turut menafikan bahawa Israel melakukan sebarang penjajahan, sebaliknya mendakwa Tebing Barat adalah milik Israel, sambil menggunakan istilah “Judea dan Samaria.”

Apabila ditanya sama ada kehadiran Israel di Gaza juga boleh dianggap sebagai penjajahan, beliau sekali lagi menolak dakwaan itu.

Gaza juga milik kami. Kami hanya membenarkan mereka tinggal di sana sebagai tetamu sehingga tahap tertentu, tetapi Gaza adalah milik kami,” katanya.

Kenyataan tersebut seiring dengan pendirian beberapa menteri berhaluan kanan dalam gabungan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, yang secara terbuka menyokong usaha penjajahan semula Gaza serta pembinaan penempatan haram Yahudi.

Beberapa menteri Israel sebelum ini turut menyatakan bahawa Tebing Barat dan Gaza merupakan sebahagian daripada wilayah Israel.

Kenyataan terbaharu Zohar dilihat mengukuhkan lagi kebimbangan masyarakat antarabangsa terhadap agenda peluasan wilayah Israel serta penafian berterusan terhadap hak rakyat Palestin ke atas tanah mereka.

Sumber: The Merdeka Times

📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts