Hadith 40 Imam Nawawi menekankan kesahihan akidah dan keharmonian kehidupan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memperkenalkan program rintis Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi sebagai modul pembelajaran di sekolah-sekolah kebangsaan. Program ini mensasarkan sebanyak 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di seluruh negara dengan menyasarkan guru dan murid beragama Islam.

Tujuan modul ini diperkenalkan adalah untuk memupuk semangat ihsan, kasih sayang dan memperkasakan kefahaman agama dalam kalangan guru dan murid beragama Islam.

 Pengenalan modul ini juga selaras dengan saranan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai inisiatif untuk memberi kefahaman kepada golongan muda dalam memahami tentang agama Islam bersandarkan al-Quran dan Hadis.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) mengambil peluang mengulas serba sedikit berkaitan kelebihan hadis 40 Imam al-Nawawi serta mesej yang disampaikan dalam kumpulan hadis-hadis berkenaan.

Pengenalan Kitab Hadis Empat Puluh

Kitab al-Arba’un Mabani al-Islam wa Qawaid al-Ahkam atau lebih dikenali dengan al-Arba’in al-Nawawiyyah dikarang oleh Imam Yahya bin Syaraf al-Nawawi. Beliau lahir pada bulan Muharram tahun 631H, di Damaskus, Syria dan beliau meninggal dunia sebelum sempat berumahtangga pada usia yang muda iaitu semasa berumur 45 tahun. Para ulama selepas zaman Imam al-Nawawi memberikan perhatian yang serius terhadap kitab al-Arba’in sehinggakan Syeikh Rasyid bin Amir dalam Ithaf al-Anam bi Zikri Juhud al-Ulama ala al-Arba’in menyenaraikan sebanyak 122 buah kitab yang mensyarahkan kitab al-Arba’in[3].

Imam al-Nawawi telah menghimpunkan sebanyak 42 hadis sahih yang sebahagian besarnya terdapat di dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Beliau menghimpunkan hadis-hadis yang menjadi prinsip-prinsip asas agama. Beliau memilih hadis-hadis yang disifatkan oleh para ulama sebagai separuh daripada Islam atau sepertiga Islam atau seumpamanya. Antara ulama lain yang mengarang berkenaan hadis empat puluh ialah:

  1. Al-Arba’in fi Sifat Rabb al-‘Alamin yang ditulis oleh Imam al-Zahabi.
  2. Al-Arba’in fi Adab al-Sufiyyah yang ditulis oleh Imam Abu Nua’im.
  3. Al-Arba’in fi Fadhl al-Jihad oleh Imam Ibn Asakir.
  4. Al-Arba’in al-Mukhtarah fi Fadl al-Hajj wa al-Ziyarah oleh al-Hafiz Abu Bakr al-Gharnati.

Terdapat sebuah riwayat tentang kelebihan menghafal 40 hadis sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas:

مَنْ حَفِظَ عَلَى أُمَّتِي أَرْبَعِينَ حَدِيثًا مِنْ أَمْرِ دِينِهَا يُبْعَثُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَقِيهًا عَالِمًا

Maksudnya: “Sesiapa yang menghafaz untuk umatku 40 hadis berkenaan urusan agamanya, dia akan dibangkitkan pada hari kiamat sebagai orang faqih dan berilmu.”

Imam al-Nawawi ketika memberikan penjelasan berkenaan riwayat Ibn ‘Abbas di atas, beliau berkata: Ulama hadis (al-huffaz) bersepakat bahawa ia adalah hadis yang lemah sekalipun terdapat jalur riwayat yang banyak. Meskipun ulama bersepakat boleh untuk beramal dengan hadis dhaif, namun sandaran beliau bukanlah hadis ini. Akan tetapi beliau bersandarkan kepada sabda Nabi SAW dalam hadis-hadis yang sahih seperti:

نَضَّرَ اللَّهُ امْرَأً سَمِعَ مَقَالَتِي فَوَعَاهَا وَحَفِظَهَا وَبَلَّغَهَا فَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ إِلَى مَنْ هُوَ أَفْقَهُ مِنْهُ

Maksudnya: “Semoga Allah mencerahkan seseorang yang mendengar kata-kata ku lalu dia memahaminya, menghafaznya, dan menyampaikannya. Boleh jadi yang menghafaznya akan menyampaikan kepada yang lebih faham daripadanya.”

(Riwayat Tirmizi)

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami, keistimewaan kitab ini terletak pada sifatnya yang komprehensif dengan merangkumi hadis-hadis berkenaan asas-asas Islam. Kata beliau:

لاشتمالها على جميع أصول الشريعة وفروعها، وآدابها وأخلاقها، ووسائلها ومقاصدها؛ لأن منها ما يرجع إلى تصحيح النية والتقوى في السر والعلن، والزهد في الدنيا وقصر الأمل، وترك ما لا يعني من الفضول، والاشتغال بالذكر، والاستعداد للِّقاء، والتواضع للخلق، وحسن التخلُّق معهم بالآداب الشرعية، والانقباض عنهم فيما لا يعني، وإرادة الخير لهم باطنًا، ومساعدتهم ظاهرًا حسب الإمكان، وغير ذلك من المصالح الدينية والدنيوية؛

Maksudnya: Himpunan hadis ini merankumi seluruh perkara pokok dan cabang syariat Islam, serta merangkumi juga perbahasan akhlak mulia dan adab terpuji, serta hukum yang bersifat wasilah dan hukum bersifat maqasid. Hal ini kerana ada antara hadis itu membincangkan soal memperbetulkan niat dan melazimi sifat taqwa sama ada ketika bersendirian atau di khalayak ramai, bersikap zuhud dan memendekkan cita-cita nikmat duniawi, meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat, menyibukkan diri dengan zikir, persediaan menuju kematian, merendah diri sesama manusia, begitu juga kepentingan berakhlak mulia dengan orang lain, menginginkan kebaikan kepada semua orang, bersedia membantu orang yang kesusahan semampu mungkin dan persoalan-persoalan lain yang terkait dengan maslahah duniawi dan ukhrawi. 

Justeru, penghayatan hadis-hadis ini sebenarnya mampu menyuntik nafas baharu dalam kalangan pelajar, serta menyemai nilai-nilai mulia dalam diri mereka, dengan syarat modul yang diajar itu mampu digarap dan disampaikan dengan sebaik mungkin oleh para guru.

Benarkah Islam mengajar umatnya memerangi seluruh manusia hingga mereka memeluk Islam?

Imam al-Nawawi telah meletakkan hadis berikut pada nombor kelapan dalam himpunan hadis beliau:

أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ وَيُقِيمُوا الصَّلاَةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلاَّ بِحَقِّ الإِسْلاَمِ وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللهِ

MaksudnyaAku telah diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad utusan Allah, sehingga mereka mendirikan solat dan membayar zakat. Apabila mereka telah berbuat demikian, maka mereka telah memelihara darah mereka dan harta mereka daripada aku, melainkan dengan hak lslam, dan hisab perhitungan amal mereka terserah kepada Allah SWT.

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Hadis inilah yang menjadi sasaran segelintir pihak sejak dahulu hingga sekarang dengan melemparkan tohmahan bahawa Islam merupakan agama ekstrem kerana mengajar penganutnya untuk memerangi umat agama lain hingga mereka memeluk Islam.

Pertamanya, perlu diambil perhatian bahawa memahami hadis bukanlah dengan hanya memahami maksudnya secara literal lalu disyarahkan mengikut logik akal semata-mata. Tetapi ia memerlukan kepada alat-alatnya seperti ilmu hadis, syarah hadis, sebab hadis diucapkan(asbab al-wurud), ilmu bahasa Arab, selain keperluan untuk dibaca bersekali dengan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis lain yang berkaitan jihad.

Sebahagian pihak telah tersilap dalam memahami hadis ini dengan mengatakan bahawa hadis ini menjadi dalil kepada perintah untuk memerangi seluruh bukan Islam sehinggalah mereka mengucapkan dua kalimah syahadah. Pemahaman seperti ini akan membawa kepada pemikiran yang ekstrim dan radikal terhadap seseorang individu muslim, bahkan boleh mengundang kepada tindakan-tindakan yang mengakibatkan perpecahan serta pertumpahan darah antara orang Islam dan bukan Islam.

Apabila ditelusuri karya-karya para ulama terdahulu dan kontemporari, jelas bahawa maksud hadis tersebut tidak seperti yang disalah fahami oleh sebilangan pihak.

Imam Syarafuddin al-Tibi menjelaskan bahawa ‘al-nas’ dalam hadis merujuk kepada golongan penyembah berhala (‘abadah al-wathan). Namun bukan semua golongan ini perlu diperangi, kerana seperti golongan Ahli Kitab yang tidak boleh diperangi jika mereka bersetuju membayar jizyah, begitu juga golongan musyrikin yang tidak boleh diperangi jika mereka telah mematerai perjanjian damai dengan umat Islam:

‌أن ‌عبدة ‌الأوثان إذا وقعت المهادنة معهم تسقط عنهم المقاتلة (وتثبت العصمة)

Maksudnya: Sesungguhnya jika termeterai suatu perjanjian damai (al-mudahanah) dengan golongan penyembah berhala, gugurlah kewajiban untuk memerangi mereka dan nyawa mereka terpelihara.

Malah, Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya ‘Ilal wa Adwiyah menggelar hadis ini sebagai “hadith mazlum” (hadith yang dizalimi) kerana ramai pihak yang salah faham dan menyebarkan kekeliruan tentangnya. Menurut beliau, hadis itu pada hakikatnya merujuk kepada keharusan untuk memerangi golongan musyrikin Arab yang disebabkan penentangan mereka terhadap agama Islam dan umatnya, serta perbuatan mereka yang tidak menghormati perjanjian damai yang telah dimaterai antara kedua-dua belah pihak.

Tohmahan bahawa hadis ini menggalakkan orang Islam memerangi semua golongan bukan Islam juga tertolak melalui firman Allah SWT yang menyeru umat Islam agar berbuat baik dengan golongan kafir yang tidak menunjukkan permusuhan terhadap Islam:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ‎﴿٨﴾‏ إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ‎﴿٩﴾

MaksudnyaAllah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Surah al-Mumtahinah (8-9)

Oleh itu, Syeikh Ibn Taimiyyah menyebut:

‌الكفار‌إنما ‌يُقاتلون ‌بشرط [‌الحراب] ؛ كما ذهب إليه جمهور العلماء، وكما دل عليه الكتاب والسنة؛ كما هو مبسوط في موضعه

MaksudnyaGolongan kafir itu hanya diperangi jika mereka sendiri memerangi umat Islam, selaras dengan pandangan jumhur ulama, dan seperti yang diterangkan oleh al-Quran dan al-Sunnah, dan sebagaimana yang dijelaskan secara panjang lebar dalam kitab para ulama.

Almarhum Syeikh Yusuf al-Qaradhawi pula tatkala memberi komentar terhadap penulisan Imam al-San‘ani berkata:

وقيل: المراد بالحديث: المحاربون، ولفظ “الناس” من العموم الذي يراد به الخصوص.

وهذا التأويل الذي ذكره في الأخير، هو الذي يترجح عندي، فلفظة “الناس” يقصد بها “المحاربون” الذي ذكرتهم سورة براءة في أوائلها، وأعلنت البراءة منهم، وهم الذين (لَا يَرْقُبُونَ فِي مُؤْمِنٍ إِلًّا وَلَا ذِمَّةً ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُعْتَدُونَ)

Maksudnya: Kata Imam al-San‘ani: Ada pandangan yang menyebut: Hadis itu merujuk kepada mereka yang memerangi umat Islam, dan lafaz ‘al-nas’ itu merupakan suatu lafaz umum dan yang dimaksudkan dengannya ialah makna khusus.

(Kata Syeikh al-Qaradhawi) Pandangan terakhir yang disebut oleh al-San‘ani inilah yang paling rajih menurutku; justeru lafaz ‘al-nas’ itu bermaksud mereka yang memerangi Islam seperti yang dijelaskan dalam Surah al-Taubah (ayat ke-10): “Mereka tidak menghormati pertalian kerabat dan perjanjian terhadap orang-orang yang beriman, dan merekalah golongan yang melampaui batas.”

Islam agama keamanan

Islam menyeru kepada keamanan, dan mengharamkan peperangan secara mutlak, kecuali ketika adanya keperluan untuk memelihara akidah umat. Oleh itu, tatkala api kekacauan telah terpadam, peperangan tidak berhak untuk wujud lagi, kerana nyawa manusia itu lebih utama untuk dipelihara, sementelah pula keamanan manusia sejagat merupakan asas bagi maqasid agama Islam itu diturunkan, demi memberdaya umat Islam dalam menjalankan kewajiban memakmurkan muka bumi.Demikian kenyataan Syeikh ‘Allal al-Fasi, salah seorang tokoh utama dalam ilmu Maqasid Syariah.

Menurut Syeikh Ahmad al-Raisuni pula: “Salah satu objektif Islam ialah memadamkan api peperangan serta menyebarkan keamanan dan kesatuan dalam kalangan manusia, sama ada pada peringkat individu ataupun masyarakat.”

Penelitian terhadap sejarah Islam juga menunjukkan bahawa Nabi SAW tidak pernah memusuhi hingga hendak membunuh orang bukan Islam hanya kerana mereka tidak mahu memeluk agama Islam.

Bahkan, dalam satu riwayat menyebutkan bahawa apabila Nabi SAW diacukan dengan pedang oleh Da’thur bin al-Harith al-Ghatfani sedangkan ketika itu Nabi SAW dalam keadaan tidak bersenjata. Lalu si Da’thur ini pun berteriak kepada Nabi SAW dengan berkata, “Wahai Muhammad, saat ini siapakah yang boleh menyelamatkan engkau?” Maka Baginda SAW dengan tenang menjawab, “sebagai seorang manusia aku tiada daya lagi melainkan hanya Allah SWT yang mampu menyelamatkan diriku saat ini”. Setelah mendengar ucapan Baginda SAW tersebut Da’thur terus menggigil dan gemetar sehingga menyebabkan pedang pada genggaman tangannya terlucut jatuh. Lalu Nabi SAW mengambil pedang tersebut dan mengacukannya kembali kepada Da’thur lantas bertanyakan soalan yang sama kepadanya. Da’thur dengan suara yang terketar-ketar menjawab, “hanya engkau sahaja yang mampu menyelamatkan aku Muhammad.”

Lantas Nabi SAW pun memulangkan kembali pedang Da’thur kepadanya tanpa menyimpan rasa marah dan dendam sedikitpun terhadap Da’thur yang berniat membunuh Baginda SAW. Tindakan Nabi SAW tersebut telah menyebabkan Da’thur memeluk agama Islam.

Peristiwa ini merupakan salah satu bukti bahawa Islam bukanlah agama yang bersifat ganas dan ekstrim tetapi Islam merupakan agama yang sentiasa mengajak kepada kedamaian dan keamanan.

Selagi punya ruang dan cara maka Islam menganjurkan kepada umatnya untuk tidak berperang menumpahkan darah sebaliknya mengambil pendekatan toleransi tanpa mengabaikan prinsip Islam dan keamanan sejagat. Menurut Syeikh Ahmad al-Raisuni, Islam tidak mengizinkan umat Islam menggunakan pedang untuk mempertahankan diri mereka melainkan selepas mereka mempraktikkan semampu mungkin sifat kelembutan, kesabaran dan kemaafan terhadap permusuhan yang dikenakan oleh golongan musyrikin ke atas mereka.

Oleh itu, menjaga keamanan dan kesejahteraan dalam bernegara juga merupakan ibadah yang dituntut dalam Islam. Seluruh umat Islam perlu mempertahankan keharmonian dan keamanan yang sedia ada ini agar negara semakin maju pada masa hadapan. Selain itu, wajib menolak mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekecohan dan tindakan provokatif yang mengundang semangat kebencian dalam kalangan rakyat yang pelbagai bangsa, kaum dan agama.

Kesimpulan

Pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi sebagai modul pembelajaran di sekolah merupakan satu inisiatif yang baik untuk memahamkan pelajar Islam khususnya tentang nilai-nilai Islam.

Dakwaan bahawa antara intipati Hadis 40 Imam al-Nawawi ialah mengajar umat Islam untuk memerangi manusia sehingga mereka memeluk Islam merupakan satu tohmahan dangkal dan tidak berpaksikan landasan ilmu. Hal ini kerana maksud sebenar hadis ialah kebenaran untuk memerangi golongan musyrikin Mekah yang memusuhi Islam dan memerangi umatnya, bukannya memerangi semua non-Muslim secara semberono. Oleh itu, Syeikh Muhammad al-Ghazali mengistilahkan hadis yang menjadi sasaran tohmahan itu sebagai hadis yang dizalimi kerana ramai yang memahaminya dengan fahaman yang silap dan memanipulasi makna yang hakiki.

Islam merupakan agama keamanan yang mengharamkan peperangan secara mutlak melainkan jika terdapat keperluan untuk memelihara akidah umat. Perkara ini sebagaimana yang disebutkan oleh al-Raisuni. Oleh itu, menjaga keamanan dan kesejahteraan dalam bernegara juga merupakan ibadah yang dituntut dalam Islam. Seluruh umat Islam mahupun bukan Islam perlu menjaga perpaduan dalam kalangan masyarakat dan menjauhi polemik yang memecah belahkan keharmonian di Malaysia.

Wallahu a‘lam.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts