Haram sebarkan video atau gambar mangsa yang rentung – Dr Zulkifli

Mantan Mufti Wilayah Persekutuan dan Menteri Agama, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan bahawa haram sekiranya menyebarkan gambar atau video mangsa yang rentung dalam tragedi pesawat terhempas di Elmina.

Beliau menyatakan perkara tersebut menerusi satu ciapan ringkas di Twitter hari ini.

Tegasnya, tindakan tersebut adalah salah di sisi agama kerana melibatkan ahli keluarga dan maruah mangsa.

“Haram sebarkan video atau gambar mangsa yang rentung dalam tragedi tersebut. Itu akan melukakan hati keluarganya, juga melibatkan maruahnya. Sabda Nabi S.A.W:

“كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ

“Maksudnya: “Hak setiap Muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya”. Riwayat Muslim (2564),” ciapnya di platform berkenaan.

Sebelum ini, tular pelbagai rakaman dan gambar di media sosial yang memaparkan mangsa dalam nahas tersebut. Berikutan itu, ia telah mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.

Terdahulu, pihak polis mengesahkan seramai 10 orang lelaki maut dalam tragedi pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang dilaporkan terhempas semalam.

Menurut laporan Bernama, insiden itu juga difahamkan membabitkan mangsa yang terdiri daripada orang kenamaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, lapan daripadanya adalah penumpang dan dua kru pesawat itu. Manakala dua lagi adalah seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta yang melalui di lokasi kejadian.

Menurutnya, pesawat berkenaan dalam perjalanan dari Langkawi menuju Subang setelah mendapat pelepasan untuk mendarat pada jam 2.50 petang hari ini.

“Namun, dua minit sebelum mendarat, pesawat itu dipercayai hilang kawalan dan terhempas lalu melanggar motosikal dan kereta yang melalui kawasan itu,” ujarnya dalam satu sidang media di tempat kejadian.

Difahamkan, kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam nahas itu dilaporkan dari arah Bukit Jelutong menghala Lebuhraya Guthrie.

Tambahnya, proses pemadaman kebakaran di lokasi itu mengambil masa selama 10 minit oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Kesemua mangsa yang terlibat dipercayai berumur antara 40-an hingga 50-an disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, untuk bedah siasat. – Siakap Keli

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts