Hati tenang mendepani musibah jika rohani terisi

 

Tiada siapa menduga bahawa pada 2021, rakyat Malaysia akan terus berada dalam situasi pandemik COVID-19 yang semakin serius. Lebih perit, tanda pandemik akan hilang belum menampakkan cahayanya.

Pelbagai inisiatif digerakkan kerajaan melalui empat fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang digariskan untuk membantu setiap rakyat yang terkesan.

Pada 15 Julai lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melancarkan program Bakul Prihatin Negara sebagai sebahagian inisiatif ke arah itu. Ia membabitkan pemberian bahan makanan asas seperti beras, gula, tepung, bihun, kicap, sardin, biskut dan kopi.

Setiap keluarga terjejas layak memohon inisiatif bantuan ini. Ternyata, kerajaan begitu serius berusaha memastikan dalam situasi agak getir seperti ini, kesejahteraan rakyat terus dijaga.

Bagaimanapun untuk memastikan kesejahteraan dicapai, adalah menjadi keperluan untuk kita kembali melihat, apakah hak semua komponen kejadian kita sebagai manusia dijaga dengan baik dan diberi makanan sepatutnya?

Hal ini cukup penting, terutama dalam situasi perit sekarang yang menuntut kita lebih menjaga dan menyayangi diri sendiri, selain melakukan yang terbaik untuk diri dalam konteks positif.

Dalam soal ini, keseimbangan amat diperlukan. Apa yang perlu diseimbangkan dalam konteks manusia, sudah pastilah ketiga-tiga komponennya iaitu fizikal (jasad atau badan), intelektual (minda atau mental) dan spiritual (rohani atau dalaman).

Komponen fizikal meliputi tubuh badan yang terdapat padanya semua organ bersifat fizikal sama ada yang di luar seperti kaki, tangan, mata, mulut, telinga dan lain-lain atau yang berada dalam badan seperti jantung, buah pinggang, hati dan lain-lain.

Ternyata sumbangan Bakul Prihatin Negara banyak membantu menyediakan makanan untuk komponen ini dengan membekalkan tenaga bagi meneruskan kelangsungan kehidupan.

Mengikut teori hierarki Maslow, keperluan memenuhi aspek ini cukup penting kerana ia adalah asas utama kepada setiap individu. Jika tidak dipenuhi, agak sukar untuk seseorang bergerak kepada peringkat kehidupan seterusnya.

Bagaimana pula dengan makanan untuk komponen intelektual – yang mana organ utamanya adalah otak. Otak atau minda perlu diberi makan dan makanannya adalah ilmu.

Suasana getir hari ini benar-benar menuntut kita memiliki ilmu bagaimana untuk berdepan naik turun jiwa anak, khususnya pada peringkat remaja yang sepatutnya perlu berada dalam kalangan rakan sebaya yang biasa berlaku ketika suasana pembelajaran di sekolah.

Namun, suasana itu tiada lagi dan berubah kepada pembelajaran di rumah. Ia memberi kesan kepada kesihatan mental anak pada semua peringkat, juga kepada ibu bapa sendiri.

Justeru, penting ibu bapa memiliki ilmu untuk menyantuni anak. Kegagalan ibu bapa berdepan situasi sebegini dek kerana kecetekan ilmu, mampu mengundang bahaya bukan saja kepada anak, malah diri sendiri.

Kita juga perlu mempunyai pengetahuan bagaimana meneruskan kelangsungan kehidupan kerana tidak pasti bilakah musibah ini akan berakhir. Dengan kata lain, ilmu bertindak sebagai panduan atau cahaya amat diperlukan dalam suasana seperti ini agar tulang empat kerat terus dapat digunakan.

Komponen seterusnya iaitu spiritual, yang dianggap paling penting untuk memastikan fizikal dan intelektual dapat berfungsi dengan sejahtera.

Organ yang terdapat di dalam ini tidak mampu dilihat mata kasar, namun mampu menentukan baik dan buruk tindakan atau perbuatan yang dilakukan, iaitu hati (kalbu).

Pada hati ini ada roh yang sifatnya kekal dan tidak akan mati serta sering bekerjasama dengan akal. Semua organ ini disebut sebagai jiwa.

Kegagalan organ dalam komponen spiritual ini berfungsi dengan baik melalui bekalan makanan sepatutnya diperoleh, boleh menyebabkan manusia diserang sakit jiwa atau hilang pegangan dan perhitungan sehingga membuat sesuatu keputusan di luar pertimbangan akal yang waras.

Bagaimana pula dengan makanan rohani atau spiritual? Jawapannya ialah apa juga yang menghubungkan seseorang dengan Tuhannya. Dalam konteks Islam, sudah tentu perbuatan seperti solat, puasa, berzikir, membaca al-Quran dan bersedekah.

Apabila rohani atau spiritual sihat dengan pemakanan yang betul, maka terhasil hati yang sihat (saleem). Dengan hati sihat ini, seseorang mampu memahami makna, tujuan dan nilai kehidupan serta berupaya menghadapi musibah dengan tenang dan berlapang dada.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155).

Dengan pemakanan rohani yang betul juga, seseorang mampu memperoleh kekuatan untuk terus melangkah dan meletakkan segala pengharapan dan kebergantungan kepada Tuhan.

Pada masa sama, dia terus berusaha melakukan apa yang sepatutnya kerana memahami bahawa setiap ujian itu datang daripada Tuhan dan kepada Tuhan juga diharapkan jalan penyelesaian.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri, melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah” (Surah al-Hadid, ayat 22).

Kesimpulannya, pengisian makanan seharusnya lebih bersifat holistik, demi memastikan kesejahteraan rakyat mampu dicapai.

Di sinilah letaknya peranan semua pihak seperti ahli akademik dan korporat untuk sama-sama mara memberi bantuan demi memastikan setiap individu dapat berlaku adil kepada diri sendiri, dengan memberi makanan yang sepatutnya kepada ketiga-tiga komponen kejadiannya.

Sebagai umat Islam, inilah ruang untuk bertanyakan kepada diri sendiri, adakah tragedi pandemik ini berjaya membawa diri kita untuk
berubah dan menjadi individu lebih baik dan lebih sejahtera?

Paling penting, sentiasa berlaku adil dalam memberi keseimbangan kepada diri sendiri melalui tiga komponen dimiliki tanpa hanya memikirkan untuk menjaga fizikal semata-mata, sehingga menjadikan komponen lain meronta kelaparan. -Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts