Hati terpaut pada Islam sejak usia 10 tahun

Bidor: “Hati saya sudah terpikat untuk mendalami dan memeluk Islam selepas mendengar kelunakan suara orang mengaji al-Quran ketika usia saya 10 tahun.”

Begitu kata anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Lans Koperal Erwin Nordin, 26, yang memeluk Islam bersama isteri Shahpika Salim, 22, sempena sambutan Maal Hijrah, kelmarin.

Upacara mengucap dua kalimah syahadah itu dipimpin oleh Pegawai Pemerintah Kem Batalion 3 PGA Bidor, Superintendan Azhar Hashim.

Mengulas lanjut, Erwin berkata, peristiwa yang mendorong dia terdetik hati untuk mempelajari agama Islam berlaku ketika mengikuti lawatan sambil belajar ke Melaka.

“Kira-kira 5 pagi, bas yang dinaiki oleh saya berhenti di tepi masjid dan ketika itu saya sedang tidur.

“Apabila terjaga, saya terdengar suara orang mengaji al-Quran yang sungguh merdu sehingga menusuk ke dalam jiwa,” katanya.

Erwin berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Bacaan Yassin dan Solat Hajat di surau Nurul Huda, di sini, hari ini.

Dia yang berketurunan suku kaum Semai dan berasal dari Cameron Highlands berkata, bermula dari peristiwa itu dirinya mula tertarik untuk mengetahui lebih dekat mengenai agama Islam.

Katanya, ketika usia meningka remaja sehingga menyertai anggota PGA sebelum memeluk Islam, dia sering mendengar ceramah agama dan membaca buku-buku berkaitan Islam.

“Selepas sekian lama menyimpan hasrat untuk memeluk agama Islam maka dua hari sebelum Tahun Baru Hijrah, saya meluahkan hasrat saya dan isteri saya kepada salah seorang pegawai di kem ini.

“Manakala isteri juga sudah lama mempelajari agama Islam ketika di awal perkenalan kami, dan saya pernah menyatakan kepadanya untuk memeluk Islam pada suatu hari nanti.

“Saya bersyukur hasrat kami berdua untuk memeluk agama Islam tercapai dan direalisasikan pada hari yang cukup mulia untuk melakukan penghijrahan,” katanya.

Erwin yang mempunyai seorang anak perempuan berusia satu tahun berkata, dia rasa sebak dan terharu ketika mengucap dua kalimah syahadah walaupun pada awalnya perasaannya terlalu gementar untuk menuju kehidupan baharu.

Katanya, dia bersama isteri akan terus mempelajari dan mendalami agama Islam di samping mengikuti kelas mengaji serta fardu ain yang dikelolakan oleh Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA).

Sementara itu, Azhar berkata, beliau bersyukur kepada Tuhan kerana dapat menunaikan hasrat suci pasangan berkenaan untuk memeluk agama Islam.

“Pasangan ini akan dibimbing mendalami agama Islam melalui kelas mengaji dan fardu ain yang diadakan setiap minggu.

“Di samping itu, saya berharap rakan-rakan Islam yang lain dapat memberi semangat dan membimbing pasangan ini ke arah kebaikan dan mempelajari ajaran Islam yang sebenar-benarnya,” katanya. -My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts