Hukum bermain permainan fun fair

Soalan

Assalamualaikum wbt tuan mufti. Baru-baru ni saya ada bawa keluarga saya keluar berjalan-jalan di fun fair. Cuma di sana, ada permainan yang dikenakan bayaran ketika hendak bermain dan ada hadiah disediakan jika menang, contohnya seperti mainan dart dan lempar gelang. Saya rasa tak sedap hati kerana seakan-akan ada unsur judi. Tapi ada juga permainan yang tidak ada hadiah seperti main mini kereta dan roda ferris. Jadi, apakah hukumnya tuan mufti? Adakah berdosa saya bawa keluarga saya bermain di ‘fun fair’ tersebut? Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Waalaikumussalam wbt. Hukum bermain permainan di fun fair adalah diharuskan dengan syarat tidak menyertai acara permainan yang melibatkan tikam menikam atau perjudian. Contohnya kita membayar sesuatu permainan untuk bermain dan jika kita kalah, maka kita tidak dapat apa-apa. Jika menang pula, ada hadiah disediakan mengikut tahap kejayaan. Maka permainan sebegini termasuk dalam pertaruhan yang mana merupakan unsur dalam perjudian, maka hukumnya haram. Selain daripada itu, dibolehkan bermain permainan yang tiada unsur perjudian. Wallahua’lam.

Huraian

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari akhirat. Permainan yang mempunyai taruhan di mana mengakibatkan pihak yang kalah mendapat kerugian manakala pihak yang menang mendapat keuntungan, adalah dilarang menurut Islam kerana ia termasuk di dalam kategori perjudian. Allah SWT melarang keras akan perjudian melalui firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Surah al-Maidah (90)

Sheikh Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa judi adalah haram, dan segala jenis pertaruhan adalah unsur perjudian, walaupun ia permainan kanak-kanak seperti melempar kacang.[1]  Judi juga adalah perbuatan yang mencari keuntungan tanpa bekerja atau berjual beli, dan kerugian yang ditanggung oleh pihak lain yang kalah dalam perjudian tersebut akan mengakibatkan permusuhan dan kebencian. Kebiasaannya para pemain judi akan berbalah sesama sendiri, menghina, mencaci serta memukul antara satu sama lain.[2]

[Lihat Tafsir al-Munir: 7/39-40]

Imam al-Ramli pula memberi contoh bagaimana sesuatu permainan yang melibatkan antara 2 pihak tidak termasuk dalam kategori perjudian. Jika salah seorang mengatakan ‘jika aku kalah maka aku akan memberi bahagianku (sebagai hadiah) kepada kamu, dan jika kamu kalah maka tidak perlu beri apa-apa’ maka ini bukan pertaruhan dan perjudian. Tetapi jika permainan itu menyebabkan pemenang boleh mengekalkan haknya dan mengambil pemberian daripada yang kalah, lalu menyebabkan kerugian kepada pihak yang kalah itu, maka ini adalah pertaruhan yang haram dan tidak dibolehkan.[3]

[Lihat Nihayatul Muhtaj: 8/168]

Ada pun jika permainan itu tidak melibatkan pertaruhan maka ia dibolehkan. Sebagai contoh seperti apa-apa pertandingan yang mana pihak penganjur menyediakan hadiah kepada para pemenang tanpa menggunakan wang yang dikumpulkan oleh para peserta. Pertandingan seperti ini diharuskan kerana ia tidak mempunyai unsur perjudian.

Kesimpulan

Justeru, hukum bermain permainan di fun fair adalah diharuskan dengan syarat tidak menyertai acara permainan yang melibatkan tikam menikam atau perjudian. Contohnya kita membayar sesuatu permainan untuk bermain dan jika kita kalah, maka kita tidak dapat apa-apa. Jika menang pula, ada hadiah disediakan mengikut tahap kejayaan. Maka permainan sebegini termasuk dalam pertaruhan yang mana merupakan unsur dalam perjudian, maka hukumnya haram. Selain daripada itu, dibolehkan bermain permainan yang tiada unsur perjudian. Wallahua’lam. – Muftiwp

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts