Hukum jual beli air zamzam di Malaysia

KUALA LUMPUR: Air zamzam tulen adalah berkat dari sudut agama, namun dari perspektif undang-undang negara pula hukumnya menjadi haram kerana tindakan membawa air mineral dari Makkah itu masuk ke Malaysia melanggar peraturan ditetapkan pemerintah.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata rakyat wajib mematuhi larangan pemerintah dan berdosa sekiranya tidak menghindarkan diri daripada perkara yang dilarang.

“Dari sudut agama, hukum bawa masuk air ini tidak haram dan air itu mempunyai keberkatan kerana ia digunakan dalam tujuan merawat penyakit. Namun, apabila undang-undang negara menetapkan perbuatan itu salah atas pelbagai sebab, maka kita perlu patuh.

“Jika kita tidak ikut (patuh), ia berdosa,” katanya kepada BH hari ini, sambil menegaskan larangan itu dibuat berikutan isu penipuan penjualan air zamzam yang pernah berlaku di negara ini suatu ketika dahulu.

Katanya, isu berkenaan menimbulkan kebimbangan kerana ramai yang menjadi mangsa penipuan apabila ejen jualan di negara ini mendakwa air mineral jualan mereka adalah air zamzam, sedangkan ia sebaliknya.

“Selepas itu, kerajaan Arab Saudi pula menetapkan larangan pengeksportan air zamzam untuk tujuan perdagangan yang sudah semestinya jika ia dibawa masuk ke negara ini, perbuatan itu menyalahi undang-undang.

“Air zamzam tetap berkat, tetapi bawa masuk dengan cara salah itu adalah haram,” katanya meminta umat Islam tidak meletakkan kepercayaan bahawa air zamzam sepenuhnya boleh menyembuhkan segala penyakit kerana penggunaannya hanya sekadar satu daripada ikhtiar.

“Air zamzam tulen memang digunakan untuk rawatan penyakit, tetapi ia ikhtiar semata-mata. Penyakit hanya boleh sembuh dengan izin Allah SWT yang boleh menyembuhkan kita dengan apa juga ikhtiar, bukan disebabkan air zamzam sahaja,” katanya.

Sementara itu Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan, berkata larangan penjualan air zamzam bukan baharu berikutan sudah dikuatkuasakan sejak 2012 lagi, malah kerajaan Arab Saudi juga tidak membenarkan eksport air mineral itu, sekali gus penjualannya boleh dianggap penipuan.

“Air zamzam dibenar untuk edaran secara percuma kepada jemaah haji dan umrah bagi kegunaan sendiri dalam kuantiti terhad. Selaras dengan ketetapan Arab Saudi itu, hukum menjual air zamzam adalah harus dengan syarat tidak bercanggah dengan hukum syarak.

“Ia seperti yang diterbitkan dalam Warta Kerajaan Selangor pada 31 Julai 2014,” katanya.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim, pula mengingatkan umat Islam bahawa mereka perlu akur dengan pendirian negara pengeluar yang melarang air zamzam dieksport untuk dijual di mana-mana negara asing termasuk Malaysia.

“Dikhuatiri air zamzam yang dijual di negara kita tidak tulen kerana Kementerian Kesihatan mengesahkan tiada pengedar atau syarikat di Malaysia diberikan lesen bagi import dan penjualan air itu.

“Apa yang masyarakat Islam boleh lakukan adalah tidak lagi membeli sebarangan kerana pihak berkuasa jelas memaklumkan tiada lesen import dikeluarkan. Malah di negara kita, tiada mekanisme untuk menguji ketulenan air zamzam.

“Kita tunggu sahaja jemaah haji atau umrah pulang dari Tanah Suci, boleh minta sedikit air zamzam daripada mereka, itu lebih baik,” katanya.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata sekiranya masih berlaku penjualan air zamzam, boleh dipertikaikan sama ada ia air zamzam tulen atau sebaliknya.

“Keduanya, jika sudah dijelaskan bahawa tidak boleh (dijual), tetapi dibuat juga, maka ia menjadi satu perkara yang tidak betul, keberkatannya juga sudah tiada. Orang ramai yang mahu keberkatan atau guna air zamzam untuk tujuan kesihatan, sewajarnya mendapatkannya melalui saluran yang betul.

“Bila dibawa masuk secara curi-curi, ia sudah dikira seperti air zamzam curi. Jika sumber tidak betul, maka tidak guna juga,” katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengesahkan tiada pengedar atau syarikat di Malaysia yang diberikan lesen import dan penjualan air zamzam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dipetik berkata pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air KKM selepas mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

Beliau memaklumkan, air zamzam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Arab Saudi tidak keluar pengesahan itu kerana air zamzam tidak boleh dieksport dan diperdagangkan. Tindakan penolakan konsainan akan dilaksanakan sekiranya terdapat pengimportan air zamzam yang tidak berlesen. Justeru, air zamzam yang diiklan atau dijual di pasaran diragui ketulenannya,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan Arab Saudi melalui kedutaannya di Malaysia pada 2011 dan 2015 juga mengeluarkan kenyataan mengesah dan menegaskan tidak mengeksport air zamzam ke luar negara, sekali gus air zamzam di pasaran tempatan dikhuatiri tiruan. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts