Hukum makmum mengangkat takbiratul ihram sebelum imam

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, apa hukum seorang makmum mengangkat takbiratul ihram terlebih dahulu berbanding imam?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Tidak sah solat makmum yang mengangkat takbiratul ihram sebelum imamnya selesai mengangkat takbir secara keseluruhannya. Oleh itu, makmum wajib menunggu sehingga imamnya selesai mengangkat takbir sepenuhnya dan setelah itu barulah dia mengangkat takbir.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW hingga ke hari Kiamat.

Terdapat hadis yang memerintahkan makmum untuk mengikuti perbuatan imam dalam solat berjemaah. Rasulullah SAW bersabda:

إنما جعل الإمام ليؤتم به، فإذا كبر فكبروا وإذا ركع فاركعوا، وإذا قال: سمع الله لمن حمده، فقولوا: رًبنا ولكً الحمد، وإذا سجد فاسجدوا

Maksudnya: Sesungguhnya imam dilantik supaya dijadikan ikutan. Apabila dia mengangkat takbir, maka hendaklah kalian mengangkat takbir. Apabila dia rukuk, maka hendaklah kalian rukuk. Apabila dia menyebut, ‘Sami’aAllahu liman hamidah’, maka hendaklah kalian menyebut, ‘Rabbana walaka al-hamd’. Apabila dia sujud, maka hendaklah kalian sujud bersamanya.

(Riwayat al-Bukhari)

Selain itu, terdapat hadis yang menyatakan ancaman terhadap makmum apabila mendahului pergerakan imam. Rasulullah SAW bersabda:

أما يخشى الذي يرفعُ رأسَه قبلَ الإِمامِ أن يُـحَـوِّلَ اللهُ رأسَـه رأسَ حِمـارٍ ، أو يجعلَ صورتَه صورةَ حِـمـارٍ

Maksudnya: Apakah orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam itu tidak takut nanti Allah SWT akan mengubah kepalanya menjadi kepala keldai atau menjadikan bentuk rupanya seperti rupa keldai?

(Riwayat Muslim)

i. Para ulama menetapkan makmum wajib mengikuti perbuatan imam dan tidak mendahuluinya. Makmum perlu memastikan bahawa imam telah selesai bertakbir sebelum dia mula untuk bertakbir. Jika dia bertakbir sebelum atau serentak dengan imam, maka tidak sah solatnya.Hal ini disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa:

فَإِنْ قَارَنَهُ فِي تَكْبِيرَةِ الْإِحْرَامِ أَوْ شَكَّ هَلْ قَارَنَهُ أَوْ ظَنَّ أَنَّهُ تَأَخَّرَ فَبَانَ مُقَارَنَتُهُ لَمْ تَنْعَقِدْ.

Maksudnya: Jika makmum mengangkat takbiratul ihram serentak dengan imam atau syak atau menyangka bahawa dia mengangkat takbir selepas daripada imam tetapi ternyata dia melakukannya serentak dengan imam, maka tidak sah solatnya.(Rujuk Raudhah al-Talibin, 1:369)

ii. Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa disyaratkan bagi makmum untuk melambatkan takbirnya daripada semua takbir imam. Kata beliau:

وَيُشْتَرَطُ تَأَخُّرُ جَمِيعِ تَكْبِيرَةِ الْمَأْمُومِ، عَنْ جَمِيعِ تَكْبِيرَةِ الْإِمَامِ.

Maksudnya: Disyaratkan untuk dilambatkan takbir makmum daripada semua takbir imam.(Rujuk Raudhah al-Talibin, 1:369)

iii. Syeikh al-Nawawi al-Jawi juga menyatakan tidak sah solat berjemaah apabila makmum menyamai takbiratul ihram imam dalam mana-mana bahagian daripada takbir tersebut. Kata beliau:

(و) السادس عشر: (تأخير تكبيرة المأموم عن تكبيرة الإمام) فلو قارنه في جزء منها لم تصح القدوة ولا تنعقد صلاته

Maksudnya: Syarat ke-16: Takbiratul ihram makmum hendaklah selepas daripada takbiratul ihram imam. Jika takbir makmum serentak dengan sebahagian daripada takbir imam, maka tidak sah qudwah bagi solat berjemaah dan tidak sah solatnya.(Rujuk Kasyifat al-Saja, 1:148)

Kesimpulan

  1. Makmum wajib memastikan dia mengangkat takbiratul ihram selepas imamnya selesai mengangkat takbir.
  2. Mengangkat takbir sebelum atau serentak dengan imam maka tidak sah solatnya.

WaAllahu a’lam.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts