Hukum ziarah kubur pada Hari Raya

taman-kubur-2

 

Alhamdulillah, kami rafakkan setinggi kesyukuran kepada Ilahi kerana dengan izin-Nya, masih lagi dapat meneruskan acara ibadat puasa pada hari-hari terakhir ini. Oleh kerana terlalu banyak persoalan yang diajukan kepada kami berkenaan dengan hukum ziarah kubur pada hari raya, maka kami seupaya mengkin cuba menjawabnya berdasarkan pandangan para ulama melalui nas.

Asal ziarah kubur adalah dituntut dalam Islam. Ia adalah sunat mengikut pendapat yang sahih. Ini berdasarkan kepada nas yang banyak walaupun pada awalnya Rasulullah saw melarang daripada menziarahi kubur tetapi diizinkannya bahkan menyuruhnya. Ini berdasarkan hadith

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَن زِيَارَةِ القُبُور فَزُورُهَا

Maksudnya: “Adalah aku dahulu telah melarang kamu menziarahi kubur, maka ziarahlah.”

Riwayat Muslim

Dalam riwayat yang lain menunjukkan illah atau sebab ziarah kubur untuk mengingati kematian. Dalam hadis Nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah R.A dia berkata: “Nabi SAW menziarahi kubur ibunya lalu dia menangis dan orang yang disampingnya juga menangis, kemudian dia bersabda:

استأذنت ربي في أن أستغفرلها فلم يؤذن لي، واستأذنته في أن أزور قبرها فأذن لي، فزوروا القبور فانها تذكر الموت

Maksudnya: “Aku meminta izin daripasa Tuhanku untuk aku beristighfar baginya (bagi ibuku), maka Dia tidak memberi keizinan kepadaku, dan aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya maka Dia (Allah) membenarkanku, maka ziarahilah kubur kerana ia boleh mengingatkan kepada kematian”.

Riwayat Muslim

Begitu juga Ibn Majah meriwayatkan dengan sanad yang sahih sabda Nabi SAW:

كنت نهيتكم عن زيارة القبور، فزوروا القبور فانها تزهد في الدنيا وتذكر الأخرة

Maksudnya: “Adalah aku dahulunya menghalang kamu daripasa menziarahi kubur, maka (sekarang) ziarahilah kubur, kerana ia boleh menjadikan kamu zuhud terhadap dunia dan mengingati akhirat.”

Riwayat Ibn Majah

Di sini dengan menziarahi kubur sudah pasti akan membawa keinsafan dan juga semangat untuk beribadat bagi persiapan menuju alam akhirat.

Berkenaan dengan wanita pula, memang terdapat larangan menziarahi kubur dengan kalimah laknat. Tetapi telah dibahaskan dengan panjang lebar sebab kerana lemahnya semangat, meratap, meraung serta mengikut cara jahiliah. Untuk itu dikatakan dilarang menziarahi kubur tetapi saya menutup perbincangan ini dengan menukilkan pendapat al-Hafiz Ibn al-Arabi yang mensyarahkan hadith riwayat al-Turmuzi dengan berkata “Yang benar adalah Nabi saw membolehkan menziarahi kubur untuk lelaki dan perempuan. Jika ada sebahagian yang menganggapnya makruh bagi perempuan, maka hal itu kerana lemahnya kemampuan perempuan untuk bersikap tabah dan sabar sewaktu berada dikubur, atau kerana penampilannya yang tidak menggunakan hijab (untuk menutup auratnya) dengan sempurna.” 

Seterusnya, menziarahi kubur pada hari raya atau bulan Ramadan telah menjadi perbahasan para ulama. Ada dua pandangan dalam isu ini.

Pertama: Hukumnya adalah makruh dan tidak dibenarkan dan tidak digalakkan bahkan ia dianggap bidaah. Ini kerana tiada nas yang menunjukkan Rasulullah SAW menziarahi kubur pada hari raya. Bahkan Baginda SAW melayani tetamu dan saling kunjung mengunjungi antara satu sama lain bagi menzahirkan kegembiraan.

Kedua: Hukumnya adalah harus. Ini kerana tidak ada perintah dan larangan secara khusus di samping mengambil pendapat umum berkenaan dengan perintah ziarah kubur. Justeru hukumnya adalah dibolehkan. Antara ulama yang berpendapat hukumnya sunat adalah dalam Fatawa al-Hindiyyah yang menyebut: Sebaik hari ziarah kubur antaranya hari raya.Lihat al-Fatawa al-Hindiyyah (6/350) Ini merupakan fatwa dalam mazhab Hanafi

Begitu juga pendapat mantan mufti Jordan, Dr. Nuh Ali Salman al-Qudhah.

Imam al-Harawi dalam syarah sahih muslim berkata: “Tidak ada hadis sahih yang menerangkan ketentuan hari untuk melakukan ziarah kubur dan tidak pula ada had berapa kali ziarah.”

 

Tarjih

Selepas meneliti pelbagai dalil, saya lebih cenderung kepada pendapat yang membolehkannya menziarahi kubur pada hari raya, bulan Ramadan atau lain-lain. Ini kerana:

  • Suruhan menziarahi kubur bersifat umum
  • Menziarahi kubur dilakukan oleh ramai salafus soleh
  • Tidak ada nas secara khusus melarang ziarah kubur pada hari raya.

Justeru, dalil yang umum tidak ditafsirkannya.

Fatwa berkenaan dengan mengkhususkan ziarah kubur pada hari raya adalah bidaah. Ini kerana menganggap ziarah kubur hanya pada hari raya yang mesti dilakukan. Tetapi kerana ingin mengambil kesempatan ketika pulang ke kampung atau masa cuti adalah di bolehkan.

Kami suka menyatakan di sini sebahagian daripada adat orang-orang tua di Terengganu dan mungkin sebahagian negeri Pantai Timur di mana mereka menziarahi kubur selepas puasa enam.

Sebahagian Fatwa Syeikh Atiyyah Saqr

Bagi memberi kefahaman dengan lebih baik dalam isu ini, kami nukilkan pendapat Syeikh Athiyyah Saqr. Beliau merupakan salah seorang ulama yang terkenal di Azhar dengan kealimannya. Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Majlis Fatwa Al-Azhar. Beliau berkata: Hukum asal bagi ziarah kubur adalah sunat, kerana ia boleh mengingatkan seseorang tentang hari akhirat.

Dengan ini kita dapat simpulkan bahawa menziarahi kubur selepas dari sembahyang hari raya, jika ia bertujuan untuk mengambil peringatan dan mengingati mereka yang telah mati yang dahulunya bersama-sama mereka berseronok di hari raya, serta memohon rahmat daripada Allah SWT untuk mereka dengan berdoa, ini semua tidak mengapadilakukan oleh orang lelaki. Adapun bagi perempuan, hukum mereka menziarahi kubur telah dibincangkan pada jilid pertama, ms:588 dari kitab fatwa ini (pendapat yang dipilih oleh sheikh adalah makruh jika dibimbangi akan berlakunya perkara yang haram seperti meratap dan lain-lain, jika perkara haram tersebut tidak dapat dielakkan maka hukumnya adalah haram –ringkasan daripada fatwa tersebut).

Adapun jika menziarahi kubur selepas solat hari raya untuk memperbaharui kesedihan dan untuk menerima takziah di atas kubur, atau dengan mendirikan bangsal dan menyediakan tempat untuk menerima takziah, ia ditegah. Ini kerana takziah selepas daripada mayat dikebumikan lebih daripada tiga hari adalah dilarang, sama ada larangan dalam bentuk haram atau makruh. Juga kerana hari tersebut adalah hari raya, hari bergembira dan berseronok yang sepatutnya tidak ditimbulkan perasaan sedih padanya. Lihat Ahsan al-Kalam Fil-Fatawa Wal-Ahkam, (6/646).

Semoga pencerahan ini dapat meredakan isu yang khilaf ini dan marilah kita berlapang dada pada hari raya ini dengan saling mengambil kesempatan untuk mempertautkan hubungan ukhuwwah Islamiah sesama kita. Saya ucapkan تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ

 

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber: http://www.muftiwp.gov.my/v3/index.php/perkhidmatan-s/irsyad-fatwa/403-irsyad-fatwa-ke-42-hukum-ziarah-kubur-pada-hari-raya

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts