Impian syahid yang menjadi kenyataan: Dr Abdul Aziz Ar-Rantisi

 

RAUT wajah itu masih kukuh dalam ingatan umat Islam. Semangat yang tidak pernah pudar dalam mempertahankan Palestin yang dicintainya. Bukan sahaja merupakan pejuang tanah air, beliau juga adalah seorang doktor pakar kanak-kanak yang hebat. Beliau ialah As-Syahid Dr Abdul Aziz Al-Rantisi, merangkap pembantu Syeikh Ahmad Yassin yang terlebih dahulu pergi menghadap Pencipta dan memperoleh kemenangan syahid.

Dr Abdul Aziz Al-Rantisi pergi menghadap ilahi selepas beberapa bulan kesyahidan Syeikh Ahmad Yassin. Jika Sheikh Ahmad Yassin terbunuh selepas melangkah keluar dari masjid menunaikan solat subuh, Dr Abdul Aziz Al-Rantisi pula syahid setelah solat maghrib di Masjid Al-Ghafri, utara Gaza.

Pada 17 April 2004, umat Islam menerima berita kesyahidan pemimpin yang sangat disegani, Dr Abdul Aziz Al-Rantisi telah dibedil oleh helikopter Apache milik zionis, yang turut menyerang Syeikh Ahmad Yassin beberapa bulan sebelumnya.

Kata-kata yang masih tergiang-giang hingga kini dalam kalangan umat Islam, kata-kata yang keluar daripada bibir pejuang agama Allah,

“Semua orang akan mati, mengapa takut dengan kematian. Jika saya diberikan pilihan samada untuk mati dibedil oleh helikopter Apache (milik tentera Zionis) ataupun akibat serangan jantung, saya memilih (untuk dibedil) oleh Apache”.

 

 

Sesungguhnya kemenangan itu milik beliau, Allah memakbulkan harapan dan doa yang beliau impikan. Seorang pejuang agama Allah yang berhati luhur dan kental dalam apa jua keadaan. Semangat itu terus segar dalam ingatan ummat Islam.

Sedikit maklumat berkenaan latar belakang beliau. Dr Abdul Aziz Al-Rantisi dilahirkan pada tahun 1947 di sebuah kampung bernama Binaa yang terletak di antara Asqalan dan Jaffa di dalam sebuah keluarga yang kuat beragama.

Selepas peperangan 1948, keluarganya dipaksa untuk berhijrah ke Gaza dan seterusnya menetap di khemah pelarian Khan Yunus bersama para puluhan ribu pelarian yang lain. Ketika itu usianya hanya enam bulan. Beliau membesar bersama sebelas orang adik beradiknya yang terdiri daripada sembilan lelaki dan dua orang perempuan.

Beliau menjalani hidup sebagai pelajar perubatan di Universiti Iskandariah di Mesir bermula pada tahun 1965 hingga 1972 dengan cemerlangnya. Seterusnya pada tahun 1976, beliau menyambung pelajarannya di peringkat sarjana dalam bidang Pediatrik dan memulakan kerja sebagai seorang doktor perubatan di Hospital Nasir yang menjadi pusat perubatan utama di kawasan Khan Yunus ketika itu. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Islam Gaza bermula tahun 1978.

Keterlibatannya dalam perjuangan Islam bermula semenjak beliau menuntut di Universiti Iskandariah lagi. Bersama-sama dengan rakan seperjuangan beliau mengasaskan Gerakan HAMAS pada tahun 1987. Dr Abdul Aziz Al-Rantisi telah beberapa kali ditangkap dan dipenjarakan.

Namun, beliau tidak pernah sekali-kali berhenti dan mengalah. Beliau sentiasa menjadi sasaran tentera Israel pada ketika itu. Selepas kesyahidan syeikh Ahmad Yassin pada 22 Mac 2004, Dr Abdul Al-Rantisi dilantik sebagai pemimpin HAMAS bagi meneruskan perjuangan mempertahankan Palestin.

Pada hari sabtu, 17 April 2004, beliau pergi meninggalkan umat Islam buat selamanya. Semangat yang ditunjukkan oleh beliau menjadi pemangkin untuk pejuang-pejuang Palestin meneruskan usaha dalam membebaskan tanah air daripada pencerobohan Zionis.

Sembilan tahun beliau meninggalkan kita dengan sebuah perjuangan yang cukup kental, perjuangan yang perlu diteruskan oleh generasi kini. Ayuh sama-sama kita berusaha menghidupkan Islam dalam diri dan kehidupan seharian, melambangkan peribadi muslim yang terbaik. Dr Abdul Aziz Al-Rantisi, kami bakal menyusulimu!

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts