Infaq kepada anak yatim, asnaf menerusi bahan terbuang

Seremban: Berinfaq di bulan Ramadan bukan hanya boleh dilaksanakan dengan wang tunai malah umat Islam di negeri ini kini boleh melakukannya dengan hanya menggunakan bahan terbuang yang boleh dikitar semula.

Caranya adalah dengan mengumpul bahan kitar semula dan menyerahkan kepada rumah kebajikan yang berdaftar menerusi program ‘KITARecycle’ bagi mendapatkan mata ganjaran yang boleh ditebus kepada wang tunai.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, usaha itu bukan sahaja dapat memberikan sumbangan kepada anak yatim dan asnaf, malah menjaga alam sekitar yang digalakkan dalam Islam.

“Sehingga kini, empat rumah kebajikan dan perlindungan berdaftar di bawah KITARecyle di sekitar Seremban. Menerusi program ini, pengurusan rumah berkenaan boleh melaksanakan aktiviti kitar semula dan mengumpul mata ganjaran yang boleh ditebus kepada wang.

“Wang dikumpul pula membantu mengurangkan kos operasi rumah itu. Orang ramai turut digalakkan untuk menghantar barang kitar semula ke lokasi berkenaan,” katanya.

Terdahulu, SWM Environment menyantuni anak yatim Pertubuhan Anak Yatim dan Miskin Perempuan Mawarku Seremban di sini, semalam melalui program SWM Kasih Santun Ramadan.

“Menerusi program ini, kami memberi sokongan kepada anak yatim selain sumbangan barangan keperluan harian, alat tulis serta wang RM1,000,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang Ramadan bermula daripada 1 hingga 30 April, orang ramai yang mendaftar sebagai ahli KITARecyle dan menghantar barangan kitar semula tertinggi berpeluang menerima tambahan 2,500 mata ganjaran.

“Kempen ini terbuka kepada ahli individu, berkumpulan, organisasi, sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan lain-lain. Pemenang akan dipilih selepas kempen tamat,” katanya.-Harian Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts