Institusi masjid: Covid-19 dan menolak ajaran liberal

 

1. SEMALAM saya berforum online bersama Dr Wan Adli Wan Ramli, Presiden Muafakat. Forum dipengerusikan oleh Tuan Haji Mahmud Hishamudin, Setiausaha Agong Muafakat. Berkenaan isu liberalisme di Malaysia.

2. Banyak isu disentuh. Saya menikmati setiap minit perbincangan santai yang berlaku. Mendengar pandangan dari ilmuwan seperti Dr Wan Adli menambahkan pengetahuan dengan cara yang mudah tanpa perlu
mentelaah. Mendengar celoteh tegas dari Tuan Haji Mahmud dapat berkongsi semangat beliau dalam mendepani isu-isu liberalisme di Malaysia. Boleh disaksikan di pautan ini: https://fb.watch/1gwcU_LesS/

3. Salah satu noktah yang saya sebutkan di hujung forum yang ingin saya panjangkan hari ini adalah berkenaan peranan institusi masjid dalam mendepani pemikiran liberal ini.

4. Masjid dan surau adalah institusi yang ditakuti oleh golongan liberal. Ada peranan yang tidak disedari oleh sebahagian masyarakat kita yang sebenarnya dimainkan oleh institusi masjid dan surau selama ini.

Antara yang boleh saya kongsikan:
i. Masjid dan surau adalah institusi di bawah bidang kuasa sultan melalui Majlis Agama / Jabatan Agama Negeri. Jarang dicampuri oleh kempen-kempen politik kepartian. Institusi ini tidak banyak berubah dengan berubahnya politik negara kecuali jika ahli politik mula campur tangan di dalam pengurusan Majlis Agama/Jabatan Agama Negeri. Dengan itu kita boleh perhatikan di negeri-negeri yang dikuasai PAS, ada masjid yang jawatankuasanya adalah ahli UMNO dan begitulah sebaliknya.

ii. Masjid dan surau adalah pusat penyatuan masyarakat Islam setempat. Aktiviti kemasyarakatan setempat sebahagiannya dilancarkan melalui masjid dan surau. Khairat kematian juga diuruskan oleh masjid dan surau. Sesetengah masjid dan surau memiliki peralatan memasak yang cukup untuk menganjurkan kenduri kendara masyarakat setempat. Ada masjid/surau yang terletak di sebelah taman permainan atau meletakkan meja pingpong di tepi masjid. Masyarakat pelbagai usia bersosial secara sihat di masjid dan surau.

iii. Masjid dan surau seolah-olah pejabat pentadbiran kecil bagi kampung, desa atau taman-taman perumahan. Pengerusi masjid/surau yang dipilih oleh ahli kariah adalah pemimpin kepada masyarakat. Dia ada pengaruhnya yang tersendiri, bergantung kepada bagaimana dia mainkan. Biasanya penghulu atau ketua kampung atau pengerusi jkkk atau pengerusi jawatankuasa penduduk yang bijaksana akan mengambil pendekatan bekerjasama dengan pengerusi masjid/surau.

iv. Masjid dan surau adalah tempat tersebarnya thaqafah Islam kepada masyarakat Islam pelbagai lapisan. Banyak masjid dan surau yang sekarang sudah mula mengurangkan ‘ceramah lucu’ dan pergi kepada pembentangan ilmiah. Ada masjid yang menganjurkan kursus-kursus yang pelbagai kepada masyarakat secara percuma. Sekarang sudah ada kuliah Dhuha, kuliah Zohor, kuliah Jumaat, kuliah Isyak dan sebagainya. Khutbah Jumaat adalah satu mekanisme menyampaikan mesej yang amat berkesan kepada seluruh umat Islam di Malaysia keseluruhannya. Jika disusun dengan baik, masyarakat Islam boleh mempunyai cara fikir yang sama terhadap apa-apa isu semasa.

v. Masjid dan surau dipercayai oleh masyarakat untuk mereka sumbangkan duit mereka. Satu kali Jumaat, kadang-kadang boleh terkumpul puluhan ribu ringgit. Bayangkan kalau sebulan. Jika sultan ingin melancarkan satu projek wakaf (seperti tahfiz vokasional wakaf misalnya), dengan kutipan Jumaat seluruh negeri selama beberapa bulan sahaja sebenarnya sudah mencukupi untuk dikumpulkan dana awal. Bayangkan potensi yang ada jika disusun sebaiknya selama 100 tahun untuk seluruh Malaysia.

5. Dengan segala potensi yang ada itu, serangan liberal tidak akan dapat masuk ke dalam masyarakat dengan mudah selagi masjid dan surau memainkan peranan dengan baik dan tersusun.

6. Bila negara diuji dengan wabak Covid-19, bermula dari bulan Mac yang lepas, masjid dan surau sudah mula disusun dengan norma-norma baru. Norma-norma baru ini sekurang-kurangnya telah memberikan kesan kepada interaksi masyarakat dengan masjid/surau. Solat berjemaah telah berkurangan. Kuliah-kuliah dipendekkan dan dihadkan bilangannya.

Solat Jumaat juga agak diketatkan sopnya. Kita sudah tidak mengerjakan solat hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha berjemaah tahun ini. Kita juga tahun ini buat kali pertama berterawih di rumah dan tidak mengerjakan iktikaf. Yang lebih dirasai, suara kanak-kanak sudah tidak kedengaran di masjid/surau selama hampir lapan bulan.

7. Kita akan kehilangan satu benteng kuat yang selama ini mendepani serangan halus pemikiran liberal di negara kita. Dari situ saya ingin mencadangkan beberapa cadangan berkenaan pengurusan masjid surau di fasa kita berdepan dengan ujian Covid-19 yang tiada siapa tahu bila akan berakhir ini.

i. Saya menyokong sop sedia ada yang diamalkan sekarang seperti penjarakan di dalam saf, menggalakkan berwudhuk dari rumah bagi mengelakkan kesesakan di tandas dan tempat wudhuk yang rata-ratanya adalah sempit, memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri. Walaupun ada pandangan lain di dalam masalah ini, pada saya kita ambillah langkah yang sebaiknya … lagipun semua sop di atas adalah mudah dilaksanakan.

ii. Bagi kawasan yang sudah masuk zon merah, menutup masjid sementara mungkin langkah yang sesuai. Saya tidak berani komen lebih kerana pihak berotoriti lebih tahu. Cuma cadangan saya, kekalkanlah azan dan solat berjemaah (juga Jumaat) di masjid dijalankan bagi beberapa orang ajk atau sesiapa yang dipilih oleh ajk masjid/surau. Azan dan jemaah adalah syiar. Selagi masih boleh dihidupkan dengan cara yang selamat, lebih baik kita hidupkan.

iii. Bagi zon kuning dan hijau, saya cadangkan agar kanak-kanak terutama yang berusia 10 tahun ke atas dibenarkan untuk solat berjemaah; samada dengan sop sedia ada atau dengan sop tambahan yang lebih ketat. Kuliah-kuliah berjalan seperti biasa terutamanya kuliah Subuh dan Maghrib. Saya sendiri berpandangan tidak ada mudharatnya juga untuk mengadakan kuliah dhuha di hujung minggu. Beberapa kali kuliah di masjid/surau sepanjang tempoh dibenarkan sebelum ini, saya mendapati hadirin dan hadirat yang datang menjaga sop yang ditetapkan; duduk dengan penjarakan fizikal dan memakai mask dengan baik. Tidak ramai yang ke tandas atau ke tempat wudhuk Selepas selesai, terus pulang ke rumah masing-masing. Jika ada jamuan pun, mereka bungkus dan berikan kepada jemaah untuk dibawa pulang. Penceramah pun makan di rumah. Disiplin mereka lebih tinggi dari disiplin orang ramai yang membeli pisang goreng di tepi jalan.

iv. Bagi solat Jumaat secara khusus, saya mencadangkan agar pihak berotoriti mencari formula agar semua orang lelaki boleh melakukan solat Jumaat dengan mudah. Pendekatan yang diambil oleh sesetengah negeri dengan membenarkan surau-surau kecil mengadakan solat Jumaat mungkin boleh diluaskan praktiknya di tempat lain. Begitu juga dengan surau-surau di pejabat-pejabat atau kilang yang memang boleh menampung bilangan jemaah yang ada. Khutbah Jumaat sudah ada teksnya. Semasa saya masih pelajar sekolah pun, saya sudah menyampaikan khutbah Jumaat kepada lebih 600 jemaah. Dengan teks yang tersedia tidak susah untuk mencari khatib di surau kecil atau di surau pejabat.

V. Selain itu, kuliah-kuliah online yang dijalankan oleh sebahagian masjid/surau juga membantu masyarakat Islam setempat. Walau pun mungkin semasa ‘live’ tidak ramai yang menonton, tapi ada kuliah yang mencecah puluhan ribu penonton selepas beberapa hari kemudian. Membuktikan ianya ditonton dan dinantikan oleh masyarakat juga.

7. Demikianlah sedikit ulasan dan cadangan saya. Harap tidak difahami sebagai melawan pandangan pihak berotoriti. Anggaplah ia sebagai cadangan dari seorang warga yang risau melihat masyarakat Islam di negaranya sendiri.

Wallahu a’lam. Allahumma balaghtu …..

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts