Wanita warga emas berkawal sepanjang solat Jumaat

 

KUALA TERENGGANU: Kewujudan sukarelawan wanita yang berkawal dan menjaga keselamatan di Masjid Gong Tok Nasek ketika jemaah menunaikan solat Jumaat harus dipuji dan dicontohi.

Tinjauan di masjid itu mendapati seramai 10 wanita berusia 50 hingga 65 tahun lengkap dengan jaket keselamatan berkawal di pekarangan masjid, sekali gus mencegah berlaku kecurian di masjid berkenaan.

Kawalan bermula jam 1 tengah hari hingga selesai solat Jumaat itu dijalankan sejak Ogos tahun lalu.

Zaimah Mohd Zain, 52, berkata, kawalan itu dijalankan bagi memastikan jemaah di masjid itu dapat menunaikan solat dengan tenang tanpa bimbang mengenai keselamatan harta benda masing-masing.

“Sejak pasukan sukarelawan berkawal di situ, tiada lagi kes kecurian yang berlaku di masjid berkenaan.

“Paling diberi perhatian ialah motosikal yang diparkir di hadapan masjid selain mengawal lalu lintas di hadapan masjid supaya lancar,” katanya ketika ditemui di Masjid Gong Tok Nasek, di sini, hari ini.

Zaimah berkata, kewujudan kawalan oleh sekumpulan wanita di masjid itu bukan sahaja mendapat pujian tetapi disarankan supaya diteruskan untuk kebaikan bersama.

“Seronok berkawal di masjid itu seterusnya berkhidmat kepada penduduk kampung.

 

 

“Walaupun kami wanita berusia namun kewujudan kami di masjid sambil menjalankan rondaan tetap menggerunkan penjenayah,” katanya.

Juriah Salleh, 64, dari Kampung Gong Baru, berkata, bukan sahaja menjaga keselamatan harta benda tetapi turut memantau remaja yang ponteng solat.

“Biasa kami akan nasihatkan remaja yang melepak di sekitar masjid supaya masuk masjid untuk mendengar khutbah dan menunaikan solat Jumaat.

“Sebelum ini hanya sukarelawan wanita di bawah Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Kampung Gong Baru yang berkawal tetapi sekarang turut disertai Sukarelawan Wanita Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Gong Tok Nasek sejak Januari.

“Kami menjalankan kawalan secara sukarela tanpa sebarang upah atau paksaan. Semuanya kerana ingin membantu dan berkhidmat,” katanya.

Zul Fadli Sulong, 33, Kampung Losong, berkata, sepatutnya masjid yang kerap berlaku kes kecurian mencontohi inisiatif diambil Masjid Gong Tok Nasek dalam menangani kes kecurian ketika solat Jumaat.

“Kawalan yang dijalankan sekumpulan wanita warga emas itu sedikit sebanyak mencegah kes kecurian di masjid.

“Masalah remaja yang melepak di luar masjid dan membuat bising ketika khutbah juga dapat ditangani dengan hikmah,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts