Tindakan SIS membantah Jaheik menunjukkan kecelaruan dan kejahilan

 

1. Sisters in Islam (SIS) hari ini membidas operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) yang memberikan notis kepada wanita yang berpakaian seksi dan berkelakuan tidak sopan. Mereka menyifatkan ia sebagai suatu obsesi yang perlu dihentikan.

2. Tindakan SIS ini jelas menunjukkan kecelaruan dan kejahilan mereka terhadap dua perkara: (1) Pertama, arahan al-Quran supaya kaum wanita menutup aurat dalam keadaan sempurna. Dan yang (2) Keduanya adalah kewajipan perintah amar makruf dan nahi mungkar.

3. Bagi wanita Muslimah, kewajipan menutup aurat itu adalah arahan yang telah difardukan oleh Allah. Perkara ini dinyatakan di dalam al-Quran yang menyebutkan:

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka (wanita Muslimah) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;” (al-Nur:31)

4. Dalam menghuraikan ayat ini al-Imam Ibn al-Jarir al-Tabari menghuraikan bahawa:

وليلقين خُمُرهنّ، على جيوبهنّ، ليسترن بذلك شعورهنّ وأعناقهن وقُرْطَهُنَّ.

“hendaklah para wanita itu melabuhkan tudung kepala mereka menutup dada-dada mereka supaya tertutup juga dengan itu rambut, tengkuk dan telinga mereka.”

 

 

5. Syeikh al-Maraghi turut menghuraikan di dalam tafsirnya yang menyebutkan :

“Wanita pada zaman dahulu menutup kepala mereka dengan khimar (tudung) dan melabuhkan hujung tudung itu ke belakang badan supaya terdedah leher dan dada mereka, seperti kebiasaan zaman Jahiliyyah, lalu mereka dilarang syarak daripada berbuat sebegitu lagi.

6. Ketika turunnya ayat ini, Saidatina Aisyah memuji wanita Muhajirin kerana kesungguhan mereka menutup aurat seperti yang telah diwajibkan oleh Allah. Perkara ini diceritakan oleh oleh beliau sendiri dalam riwayat Abu Daud yang menyebutkan:

يرحم الله نساء المهاجرات الأول لما أنزل الله وليضربن بخمرهن على جيوبهن شققن أكثف مروطهن (نوع من الثياب) فاختمرن بها ” .

“Semoga Allah merahmati kepada kaum wanita Muhajirin yang awal. Mereka, apabila Allah menurunkan ayat : وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ, mereka lantas mengoyakkan kain Murat (sejenis tekstil yang diperbuat daripada bulu bebiri) mereka lalu mereka jadikan sebagai tudung.”

7. Perbuatan mempertikaikan apa yang telah diwajibkan oleh syarak adalah perkara yang ditegah oleh agama. Perkara ini dijelaskan oleh artikel yang dinukilkan di laman Mufti Wilayah yang menyebutkan:

Syeikh Muhammad al-Zuhaili hafizhahullah berkata: “Jika seorang muslim mengingkari suatu hukum syarak yang sudah disepakati ke atasnya dan mudah diketahuinya dalam agama, maka dia sudah kafir.” Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (5/233).

8. Dan adalah menjadi kewajipan bagi Jabatan Agama menjalankan tugas amar makruf dan nahi mungkar seperti yang telah digariskan al-Quran. Kenyataan yang dikeluarkan oleh SIS ini seakan terbit dari kekeliruan mereka tentang al-Quran.

Semoga Allah membimbing kita semua.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts