Pastikan kaedah main kutu tiada unsur penipuan

 

MAIN kutu merujuk kepada sekumpulan individu menyumbang wang dalam kadar sama setiap bulan. Cabutan atau undian akan dilakukan untuk menentukan siapa berhak menerima duit kutu yang dikumpulkan itu secara bergilir-gilir. Ia memang dapat meringankan beban kewangan dan hutang.

Oleh itu, ramai juga terkedu dengan berita seorang penjual nasi lemak dihadapkan ke mahkamah kerana menganjurkan kumpulan wang kutu.

Tidak dinafikan main kutu perkara lumrah dalam masyarakat kita. Ada saudara-mara, jiran tetangga, orang sekampung, malah rakan sepejabat yang bermain kutu. Walaupun ada sekadar suka-suka, ramai juga berbuat demikian kerana dapat membantu untuk meringankan beban kewangan.

Duit kutu kadangkala menjadi penyelamat untuk memperbaharui cukai jalan yang tamat tempoh atau untuk membeli barang kemas diidam-idamkan dan keperluan lain.

Apatah lagi memandangkan main kutu hukumnya harus dalam Islam dan dibolehkan dengan syarat tidak wujud unsur riba (faedah), gharar (ketidaktentuan) dan elemen haram lain.

Main kutu dibenarkan dalam Islam selagi ia hutang sesama peserta yang tidak mengandungi faedah dan dijelaskan pembayarannya mengikut persetujuan pada awal kutu.

Jadi, apabila timbul berita ada individu dihadapkan ke mahkamah kerana menganjurkan main kutu, ramai terkejut dan berasa sukar untuk menerima berita itu. Tidak kurang juga mula risau jika mereka tidak boleh bermain kutu lagi.

Namun, jika dilihat penjelasan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada Sidang Dewan Rakyat pada 14 Jun 2011, bermain kutu sesama saudara-mara, jiran tetangga dan rakan seperti diamalkan selama ini tidak dilarang undang-undang.

Apa yang dilarang adalah menjalankan perniagaan mempromosikan wang kutu seperti diperuntukkan Seksyen 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.

Ini bermakna, jika Mak Cik Kiah, Mak Cik Lijah dan Mak Cik Tipah yang juga jiran tetangga di kampung bermain kutu tanpa sesiapa mengambil untung daripada main kutu terbabit, perbuatan itu tidak melanggar undang-undang.

Sebaliknya, ia hanya menjadi kesalahan apabila seseorang menganjur kan main kutu sebagai suatu perniagaan contohnya dengan mengenakan caj perkhidmatan untuk penganjurannya. Beberapa kes mahkamah sebelum ini yang disabitkan dengan kesalahan penganjuran main kutu mencerminkan keadaan berkenaan.

Dalam kes terbabit, orang ramai dipelawa menyertai kumpulan wang kutu dengan menghantar wang pos kepada penganjur. Penganjur turut mengenakan caj perkhidmatan dibayar secara wang pos juga. Jumlah wang dan bilangan orang terbabit dalam kumpulan wang kutu bukannya sedikit.

Dalam satu kes, penganjur berjaya mengumpul lebih RM2.4 juta daripada peserta yang melebihi 81,000 orang dalam tempoh tidak sampai setahun seperti dilaporkan dalam Laporan Tahunan Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 2010. Ramai peserta kumpulan wang kutu hilang wang mereka.

Bagaimanapun, kesalahan menjalankan perniagaan menganjurkan wang kutu bukan bergantung sama ada wang dan peserta kutu terbabit adalah banyak atau sedikit. Jika wang dan peserta terbabit tidak banyak sekalipun, perbuatan menjalankan perniagaan menganjurkan wang kutu itu sendiri seperti yang diterangkan tetap ditegah undang-undang.

Ini bagi memastikan masyarakat awam tidak tertipu dan tidak kehilangan wang, apatah lagi apabila penganjur kumpulan wang kutu tidak dikenali.

Sejak kebelakangan ini, penganjuran kumpulan wang kutu untuk membeli emas sering muncul di media sosial. Sambutan peserta agak menggalakkan walaupun penganjur baru dikenali di alam maya.

Sesekali kita terdengar penganjur kumpulan wang kutu akhirnya menghilangkan diri dengan wang kutu yang dikutip. Peserta pula hanya menggigit jari kerana impian memiliki emas lebur begitu sahaja, manakala wang diberikan kepada penganjur lesap entah ke mana.

Situasi mendukacitakan seperti inilah yang cuba dikekang daripada berlaku. Justeru, apa yang dikawal undang-undang ialah penganjur kumpulan wang kutu, bukannya peserta wang kutu itu sendiri. -Berita Harian

Prof Madya Dr Siti Faridah Abdul Jabbar,
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts