Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, bersama Menteri Luar, Gideon Saar, telah bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak NIS 2.35 bilion bagi tujuan hasbara, iaitu kempen yang digambarkan sebagai “diplomasi awam”, dalam bajet tahun 2026.
Menurut laporan Roya News, jumlah peruntukan yang bersamaan kira-kira USD 630 juta itu mencerminkan peningkatan ketara dalam dana yang digunakan untuk mempromosikan naratif serta kepentingan Israel di peringkat antarabangsa.
Bajet tersebut, yang merangkumi NIS 1 bilion yang telah diluluskan sebelum ini oleh kerajaan, akan digunakan bagi menyokong pelbagai inisiatif bertujuan memperbaiki dan mengangkat imej Israel di arena global.
Antara fokus utama termasuk pelaksanaan kempen media sosial, kerjasama dengan pertubuhan masyarakat sivil, serta penganjuran lawatan delegasi pemimpin antarabangsa, ahli politik, dan pempengaruh ke Israel.
Saar menyatakan bahawa program-program ini akan memanfaatkan teknologi canggih, strategi digital, dan pendekatan komunikasi secara kreatif bagi menangkis naratif yang dianggap memusuhi Israel.
Selain itu, Israel turut merancang penubuhan sebuah “unit diplomasi awam” khas di bawah Kementerian Luar bagi menyelaras semua usaha hasbara.
“Pelaburan dalam peperangan kesedaran ini adalah setara dengan pelaburan dalam pesawat, bom dan sistem pemintas,” ujar Saar, sambil menyifatkan peningkatan peruntukan tersebut sebagai satu “kejayaan besar”.
Namun demikian, langkah ini menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai usaha untuk memutihkan jenayah perang di Gaza. Kritikan itu timbul susulan bantahan global berterusan selama dua tahun serta perubahan besar dalam persepsi masyarakat dunia selepas lebih 70,000 penduduk terbunuh di wilayah yang berada di bawah sekatan itu.
Di peringkat domestik, pengkritik termasuk ketua pembangkang, Yair Lapid, turut mengecam bajet 2026 yang peruntukan hasbara menjadi komponen utamanya dengan mendakwa ia membebankan dan “menghancurkan kelas pertengahan” melalui kenaikan cukai serta peningkatan kos sara hidup, yang dijangka menambah perbelanjaan bulanan keluarga bekerja sehingga NIS 1,000.
Sumber: Dunia Palestin
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








