Jangan terpedaya agensi dakwa mampu keluar visa haji

KUCHING: Rakyat Malaysia yang berhasrat menunaikan ibadah haji diharap tidak terperdaya dengan pihak yang mendakwa mampu mengeluarkan visa atau permit haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, berkata ini kerana di Malaysia hanya dua pihak yang mampu mengeluarkan visa haji iaitu Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

“Perlu diketahui, di Malaysia visa haji hanya dikeluarkan oleh dua pihak iaitu TH yang mengeluarkan sebanyak 31,600 visa dan juga visa khas yang dikeluarkan Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

“Selain daripada dua pihak itu, jangan terpedaya dengan pihak yang mendakwa boleh mengeluarkan visa haji dan kerajaan Arab Saudi sudah memberi amaran akan mengambil tindakan berat iaitu denda sebanyak 10,000 riyal (RM12,510) selain dilarang memasuki Arab Saudi selama 10 tahun jika ada yang melanggar arahan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Bakal Jemaah Haji Sarawak yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Raia Hotel, di sini, semalam.

Kumpulan pertama bakal jemaah haji Sarawak seramai 142 orang itu berlepas ke Kuala Lumpur dengan pesawat KT70Q dan akan digabungkan dengan bakal jemaah haji Pulau Pinang untuk meneruskan penerbangan ke Jeddah dengan pesawat MH8443 pada jam 3.20 petang semalam.

Mohd Na’im berkata rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi dengan visa lawatan harus mematuhi arahan kerajaan negara itu dengan tidak menyalahgunakan visa berkenaan untuk mengerjakan haji.

Beliau berkata Arab Saudi sudah mengeluarkan arahan berhubung perkara itu dan akan mengenakan hukuman berat jika sabit kesalahan.

Katanya, kerajaan Arab Saudi serius dalam menangani kegiatan penipuan visa haji itu dan beliau amat berharap tiada rakyat Malaysia melanggar arahan itu.

Sementara itu, beliau berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung dakwaan ada rakyat Malaysia terkandas di Tanah Suci selepas ditipu oleh agensi pelancongan dan umrah.

Justeru beliau meminta sesiapa yang mengalami masalah itu supaya membuat aduan kepada pegawai Tabung Haji di Makkah atau Madinah bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Mengenai laporan sepasang suami isteri terkandas di Makkah, Mohd Naim berkata, ketika ini beliau menyerahkan kepada polis dan Kementerian Pelancongan untuk menguruskannya.

“Bagaimanapun, jika mereka membuat aduan kepada Tabung Haji di Arab Saudi, kita sedia memberi bantuan kepada mereka,” katanya.

Pasangan terbabit dilaporkan memohon bantuan selepas agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan mereka ke Tanah Suci bagi mengerjakan haji menggunakan visa pelancong tidak mahu mengembalikan pasport bagi membolehkan mereka pulang ke Malaysia.

Difahamkan, agensi yang mengendalikan pakej haji itu ada hubung kait dengan kes tiga jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sabtu lalu selepas gagal menyediakan tiket balik ke Malaysia untuk jemaah berkenaan.

Sebelum ini Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi menegaskan pemegang visa lawatan pelbagai kategori tidak akan dibenarkan masuk atau berada di Makkah bermula 15 Zulkaedah bersamaan 23 Mei sehingga 15 Zulhijjah bersamaan 21 Jun.

Tindakan itu selaras larangan pemegang visa lawatan menunaikan haji.

“Pelawat yang kini berada di Arab Saudi dengan visa lawatan digesa mengelak perjalanan ke Makkah dalam tempoh ditetapkan.

“Mereka yang melanggar arahan akan dikenakan hukuman mengikut peraturan ditetapkan kerajaan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan disiarkan Saudi Press Agency.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts