Masjid Liberal dan Masjid Gay adalah simbol agama baharu

 

Mereka yang mengasaskan masjid liberal, dikira mengasaskan agama baharu.

Ini kerana penyembahan kepada Allah yang Esa diambil kaedah dan caranya daripada Rasulullah S.A.W.

Kalimah syahadah yang kedua; Muhammad itu Pesuruh Allah, memberi erti bahawa cara dan kaedah penyembahan atau ibadah mesti menurut yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W.

Kalimah syahadah yang kedua itu menuntut setiap muslim agar mematuhi cara dan kaedah ibadah Rasulullah S.A.W.

Solat berjamaah berimamkan lelaki jika ada makmum lelaki dan sof tidak bercampur lelaki dan perempuan adalah cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W.

Ijmak para sahabat dan para ulama, di sepanjang zaman, bahawa itulah cara solat berjamaah Rasulullah S.A.W.

Apabila sabit dengan ijmak, maka ia wajib dipatuhi. Tiada khilaf dalam isu ini.

Jika perbuatan menyalahi kaedah dan cara solat berjamaah Rasulullah S.A.W. itu (yang sabit dengan ijmak), dibuat dengan sengaja, bukan kerana jahil, maka yang demikian adalah perbuatan bid’ah sesat dan menyanggah pengertian kalimah syahadah yang kedua.

Bahkan, sebenarnya ia sudah melampau kerana merampas hak Allah dalam mensyariatkan agama Islam, kerana Rasulullah S.A.W. sendiri hanya menerima wahyu dan arahan kaifiat solat berjamaah itu. Baginda bukan pencipta cara ibadah.

 

Imam yang mengaku gay secara terbuka di Amerika.

Masjid gay pula adalah satu pengisytiharan perbuatan maksiat dosa besar.

Perbuatan hubungan seks sejenis itu sabit sebagai satu maksiat bertaraf dosa besar melalui ijmak para sahabat dan para ulama, di sepanjang zaman.

Orang yang melakukan hubungan sejenis secara senyap-senyap adalah dikira melakukan maksiat dosa besar.

Manakala orang yang mengisytiharkan maksiat dosa besarnya itu adalah sebenarnya memerangi Allah Taala secara terbuka.

Lebih teruk daripada itu, mengaitkan masjid dengan gay, adalah satu usaha yang jelas untuk menghalalkan satu perkara haram yang telah sabit secara ijmak.

Kedua-dua golongan ini mengisytiharkan penolakan mereka terhadap autoriti Allah Taala dalam mensyariatkan agama Islam.

Pengasas masjid liberal menolak autoriti Allah Taala (hak hakimiyah) dalam soal kaedah dan cara ibadah solat berjamaah yang telah sabit dengan ijmak.

Pengasas masjid gay pula menolak autoriti Allah Taala dalam soal pengharaman hubungan seks sejenis yang telah sabit dengan ijmak.

Menolak dengan sengaja autoriti Allah Taala (hak hakimiyah), adalah satu kekufuran.

Serentak dengan penolakan itu, mereka mencipta agama baharu, yang tersimbol pada dua masjid; liberal dan gay.

Semoga mereka belum terlambat untuk bertaubat.

Nota:
1) Menolak, dari sudut iktikad, sesuatu yang telah sabit dengan ijmak, hukumnya kufur. Contohnya iktikad bahawa solat fardhu lima waktu itu tidak wajib dan iktikad bahawa tidak semestinya imam lelaki apabila ada makmum lelaki dan tidak semestinya lelaki dan perempuan diasingkan dalam sof.
2) Ada kaifiat dan cara yang tidak sabit dengan ijmak, terdapat khilaf, seperti bacaan doa qunut solat subuh, maka implikasi perlanggarannya tidak seserius sesuatu kaifiat dan cara yang sabit dengan ijmak.

Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts