Sebatan bertujuan mendidik masyarakat

 

1. Beberapa tokoh politik tempatan menyuarakan pandangan mereka berhubung isu sebatan dikhalayak yang dijalankan di Terengganu semalam. Anwar meluahkan rasa tidak bersetuju dengan tindakan menjatuhkan hukuman sebat tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu bentuk penindasan. Manakala Khairi Jamaluddin pula membidas hukuman tersebut sebagai tidak wajar.

2. Kita seharusnya faham bahawa sebatan dalam hukuman syarak adalah bertujuan mendidik dan bukannya menyeksa, apatah lagi menindas.

2.1 Ini dapat diperhatikan melalui kaedah sebatan yang dijalankan. Menurut al-Imam Ibn Taimiyyah Rahimahullah (w.728H), tatacara sebatan berlangsung dengan satu bentuk pukulan yang sederhana (tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan) dengan menggunakan cemeti yang sederhana (tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan) [Al-Siyasah al-Shar’iyyah fi Islahi al-Ra’i wa al-Ra’iyyah].

2.2 Kaedah ini jelas menggambarkan bahawa hukuman fizikal bukanlah matlamat utama sebatan tersebut sebaliknya kesan daripada perlaksanaan undang-undang tersebut dilihat lebih utama.

3. Malah, jika diperhalusi, sebatan juga diarahkann agar tidak ditujukan kepada muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit dan ianya secara pasti tidak melukakan pesalah. Kaedah ini secara umumnya menggambarkan bahawa sebatan syari’i tidak bertujuan untuk melukakan, apatah lagi menyeksa. Ia adalah proses mendidik pesalah dan masyarakat. Kaedah ini langsung tidak sama dengan sebatan sivil yang melukakan bahkan sehingga satu tahap boleh memecahkan daging pesalah.

4. Berhubung saranan supaya hukuman ini disaksikan oleh khalayak, ia adalah berasaskan ayat daripada al-Quran yang menyebutkan:

وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “…maka hendaklah sekelompok manusia dari kalangan orang beriman menyaksikan hukuman keduanya (penzina lelaki dan perempuan).” (Surah al-Nur: 2)

5. Ketika menghuraikan ayat ini, al-Imam Ibn Asyur menjelaskan bahawa arahan bagi kaum mukminin menyaksikan hukuman ini adalah bagi menimbulkan rasa takut untuk melakukan kesalahan. Ini sekaligus menghidupkan rasa takut melakukan dosa dan menjauhkan diri dari mendekati perlakuan mungkar. Ia bertepatan dengan maqasid hukuman itu sendiri iaitu mendidik manusia supaya menjauhi perbuatan yang dilarang (Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir).

6. Oleh kerana pentingnya menanamkan rasa sedar dan insaf di kalangan masyarakat, Mazhab Hanafi dan Hambali berpandangan bahawa hukuman sebat mesti dilaksanakan dihadapan khalayak seperti yang dizahirkan di dalam ayat al-Quran di atas. Manakala Mazhab al-Shafi’i dan Maliki pula berpandangan bahawa memadai dengan kehadiran empat orang saksi yang menyaksikan hukuman tersebut. [al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (5391/7) oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaili (w.1436H)]

7. Jadi, apakah hikmah hukuman ini dilaksanakan dihadapan khalayak?

7.1 Menurut Ibn Kathir, tindakan ini adalah bagi meningkatkan rasa kesedaran masyarakat setelah menyaksikan sendiri apa yang berlaku di hadapan mata mereka. Ia akan tersemat sebagai satu peringatan buat mereka (Tafsir al-Quran al-Azim). Sebatan di tubuh pesalah hinggap di hati masyarakat.

7.2 Al-Imam al-Baidawi pula memberikan pandangan yang agak menarik. Pendedahan hukuman terhadap khalayak ini adalah lebih utama dari sebatan itu sendiri. Ini adalah kerana, menurut beliau, hukuman yang diberikan tidaklah memberikan kesakitan yang berat terhadap fizikal. Namun pendedahan perlaksanaan hukuman ini telah menjadi satu tamparan hebat yang menempelak hati pesalah serta membangun jiwa yang menyaksikan agar lebih segera menjauhi kemungkaran dan mendekati keinsafan. (Tafsir al-Baidawi)

Hukuman bertujuan mendidik hati dan membangun jiwa. Bukan menyeksa fizikal serta merendah kemanusiaan.

Rujukan: Bayan Linnas Siri 104, Mufti Wilayah.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts