Isu Ughyur: Kekeliruan konsep rahmah Mujahid

 

1. KETIKA mengadakan sesi lawatan ke Kem Tahanan Ughyur di China, YB Mujahid mengaitkan program ini dengan hashtag Rahmatan Lil Alamin. Seolah kedatangan beliau ke pusat tahanan Muslim tersebut adalah salah satu program yang berteraskan prinsip Rahmah.

2. Ini adalah satu kekeliruan yang nyata. Bagaimana kezaliman yang berlaku ke atas saudara Muslim kita disifatkan sebagai Rahmatan lil Alamin? Laporan media dari pelbagai pihak menimbulkan kebimbangan terhadap isu kezaliman yang berlaku dalam Kem Tahanan Muslim di China ini termasuklah Setiausaha Agung PBB sendiri, António Guterres. Anehnya, YB Mujahid menggambarkan lawatan beliau ke Kem Tahanan ini adalah berkonsepkan Rahmah.

3. Usaha China untuk mengikis identiti Muslim ini (termasuklah larangan ke atas mereka dari mendirikan solat di tempat umum seperti yang dilaporkan oleh BBC) adalah satu proses mengembalikan manusia ke arah Jahiliah. Adalah sangat tidak wajar untuk kita sifatkan usaha Jahiliah ini sebagai satu Rahmah sedangkan Rasulullah sendiri bertungkus lumus membebaskan manusia dari Jahiliah.

4. Ingatkah kita bagaimana ketika Rasulullah mendengar ancaman dari Abu Jahal yang menyeru Qurasyh untuk memusuhi Islam dan mengekalkan jahiliah, Baginda dengan tegas bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَأَقْتُلَنَّهُمْ، وَلَأُصَلِّبَنَّهُمْ، وَلَأَهْدِيَنَّهُمْ، وَهُمْ كَارِهُونَ، إِنِّي رَحْمَةٌ، بَعَثَنِي اللهُ عَزَّ وَجَلَّ، وَلَا يَتَوَفَّانِي حَتَّى يُظْهِرَ اللهُ دِينَهُ

“Dan demi nyawaku yang berada di tanganNya, aku akan memerangi mereka, menyalib mereka, dan memberi hidayah kepada mereka sekalipun mereka dalam keadaan yang membenci. Sesungguhnya aku adalah Rahmah yang diutuskan oleh Allah, dan Allah tidak akan mematikan aku sehinggalah Allah memenangkan agamaNya.”

5. Hadith di atas jelas menunjukkan bagaimana Rasulullah bertegas memerangi Jahiliah, bahkan Baginda menyifatkan memerangi Jahliah itu adalah satu Rahmah. Bagaimana YB Mujahid boleh mengaitkan usaha Jahiliah tersebut sebagai satu Rahmah sedangkan ia jelas bertentangan dengan hadith Nabi?

6. Tahukah anda pada 13 Februari 2019, al-Jazeera melaporkan bahawa dikatakan terdapat saudara Muslim Ughyur yang meninggal dunia ketika dalam tahanan tersebut? Tahukah anda bagaimana reaksi Rasulullah ketika seorang Muslim dibunuh oleh Yahudi Bani Qainuqa? Baginda segera menyediakan tentera menuntut pembelaan nyawa saudara Muslim. Anehnya kezaliman yang berlaku ke atas Muslim ini disifatkan sebagai Rahmah pula.

7. Ingatkah kita pada 18 Mei 2019 yang lalu, Mufti Perlis pernah menegur kumpulan politik Rahmatan lil Alamin ini yang hanya mendiamkan diri apabila isu ketidakadilan pemilihan pekerja di syarikat swasta dialami oleh Muslim? Kenyataan Mufti ini secara tidak langsung menunjukkan wujud kekeliruan sikap serta prinsip politik Rahmah ini.

8. Bahkan pada 10 Ogos 2018 yang lalu, YB Mujahid dilaporkan pernah mengeluarkan kenyataan untuk menangani isu LGBT melalui konsep Rahmah. Kenyataan bahkan pendirian beliau ini akhirnya menerima kritikan yang keras dari pelbagai pihak kerana kekeliruan yang berlaku dalam menangani isu tersebut.

9. Janganlah atas kepentingan politik, semua perkara kita kaitkan dengan Rahmah. Perbahasan lanjut tentang konsep rahmah ini telah saya nukilkan dalam artikel ini:

https://www.researchgate.net/publication/329223144_Konsep_Rahmatan_Lil_Alamin_Dalam_Hadith_Penerokaan_Makna_Serta_Aplikasi_Di_Malaysia

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

——

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

▪️ telegram.me/indahnyaislam
▪️ instagram.com/indahnya.islam
▪️ twitter.com/IndahnyaIslam

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts