Jadikan Ramadan medan penyatuan

 

“Tidak kira apapun mazhab atau fahaman kita, umat Islam itu bersaudara, mereka mempunyai satu sahaja Tuhan iaitu Allah, berpegang kepada kitab al-Quran dan mengikut ajaran Rasulullah SAW.”

Penulis masih ingat pesanan ini yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Imam Masjidilha­ram, Sheikh Saleh Al-Taleb ketika mengadakan pertemuan dengan peserta-peserta Program Umrah anjuran Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi baru-baru ini.

Mesej beliau jelas iaitu mahu umat Islam mengukuhkan perpaduan tanpa mengira siapapun mereka. Ini selaras dengan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.”

Justeru sempena Ramadan tahun ini, marilah kita berusaha merapatkan ukhuwah sesama kita sebagai seorang Islam. Lupakan seketika perbezaan fahaman mahupun pandangan apatah lagi ideologi politik. Sebaliknya bulan suci ini harus dijadikan platform untuk kita mengeratkan kembali silaturahim dan mengukuhkan persaudaraan Islam.

Sama ada kita mahu mengakui atau tidak, perpaduan umat Islam di negara ini semakin rapuh. Gesaan, pandangan dan seruan supaya kita bersatu seolah-olah tidak dipedulikan. Sebahagian besar kita terus dibelenggu de­ngan fahaman politik kepartian sehingga ada antaranya sudah sampai ke tahap kebencian.

Sudah tentulah sikap seumpama ini tidak akan menguntungkan umat Islam, sebaliknya hanya menyebabkan mereka menjadi lemah dan akan membuka laluan kepada pihak lain untuk mengambil kesempatan.

Atas sebab itu janganlah biarkan Ramadan kali ini berlalu begitu sahaja tanpa kita berusaha untuk mengukuhkan kembali perpaduan antara umat Islam yang ketika ini berada dalam keadaan yang agak meresahkan.

Di dalam sebuah negara demokrasi, tidak salah untuk kita menyokong mana-mana parti yang kita inginkan, tetapi apabila menyentuh soal kepentingan umat Islam, kita hanya ada satu pilihan iaitu bersatu.

Kita tidak harus berpecah-belah hanya disebabkan mende­ngar perkara yang tidak sahih atau khabar-khabar yang sengaja dise­barkan bagi mewujudkan perpe­cahan dalam kalangan umat Islam.

Sebab itulah dalam surah Al-Hujurat ayat 6 Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita maka selidiki (untuk menentukan) kebenaran­nya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini de­ngan sebab kejahilan kamu (me­ngenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Dalam apa juga perkara, seluruh umat Islam tidak boleh menafikan bahawa mereka mempunyai satu ikatan yang kuat iaitu akidah. Kalaupun mereka tidak boleh bersatu dalam soal politik tetapi ikatan akidah itu mampu menyatukan mereka.

Malangnya, kita terlupa perkara ini. Kita boleh bersama-sama mengunjungi masjid untuk menu­naikan solat waktu berjemaah atau solat tarawih, tetapi tidak mengambil kesempatan untuk mengukuhkan perpaduan sesama kita.

Dalam situasi politik sekarang dan ditambah pula dengan pelbagai cabaran yang memburu umat Islam, mereka tidak boleh selama-lamanya berbalah kerana politik. Sedikit-sebanyak mereka perlu memberi isyarat kepada pihak-pihak tertentu bahawa mereka boleh bersatu.

Hakikatnya apapun perbezaan antara kita adalah ujian Allah untuk melihat sejauh mana kita mampu menanganinya. Ini boleh dibuktikan melalui firman-Nya dalam surah Al-Maidah ayat 48 yang bermaksud; “Dan kalau Allah mengkehendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.”

Oleh itu jadikanlah bulan suci ini sebagai penggerak momentum untuk kita bermuhasabah seketika dalam usaha mencari titik penyatuan antara umat Islam. Sampai bilakah kita harus berbalah dan bertelingkah yang akhirnya akan mengakibatkan kita menjadi lemah?

Islam adalah agama suci, Islam adalah agama yang me­ncintai keamanan dan Islam mengikat umatnya dengan tali persaudaraan. Kelebihan dan kemuliaan agama Islam tidak harus dicemari dengan perpecahan dan perbalahan yang tiada kesudahannya.

Hapuskan kebencian antara kita sesama Islam. Jangan butakan mata dan minda ditutup akibat pegangan politik yang melam­pau. Jadikan solat tarawih pada setiap malam sebagai medan kita merapatkan ukhuwah selain beribadah kepada Allah SWT.

Janganlah kita hanya bersatu dan berada dalam satu saf ketika di masjid tetapi apabila melangkah keluar kita kembali berbalah. Begitu juga janganlah selitkan tazkirah Ramadan dengan bahan berbaur politik yang hanya memburukkan lagi perpecahan antara umat Islam.

Serulah kepada perpaduan, penyatuan dan persaudaraan. Jadikanlah perbezaan dan per­selisihan sebagai satu rahmat dalam usaha kita memperkukuhkan kedudukan umat Islam.

Selamat berpuasa!

Zulkiflee Bakar

Sumber: https://www.utusan.com.my/rencana/utama/jadikan-ramadan-medan-penyatuan-1.486414

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts