JAIP lupuskan 30 tan al-Quran rosak akibat banjir

PEKAN – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah melaksanakan proses melupus lebih 30 tan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akibat banjir di negeri ini sejak dua minggu lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan berkata, proses pelupusan dilakukan secara berkala setiap hari menggunakan insinerator milik JAIP di kawasan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Pekan, di sini.

Menurutnya, pusat pelupusan atau pembakaran itu mampu melupuskan kira-kira 100 kilogram bahan berkenaan sehari.

“Sekiranya perlu, pihak JAIP juga akan menggunakan pusat pelupusan swasta di Kampung Temin, Jerantut yang mampu melupuskan bahan itu dalam jumlah yang lebih besar.

“Proses ini mengambil masa agak panjang kerana jumlah al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran rosak yang dikumpulkan mencapai 30 tan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sebelum itu, Noridzuan hadir memantau proses pelupusan menggunakan insinerator di PAID Pekan di sini pada Rabu.

Noridzuan berkata, berlaku sedikit kelewatan dalam proses itu disebabkan kebanyakan bahan berkenaan masih basah.


“Proses menjemur terpaksa dilakukan terlebih dahulu agar ia benar-benar kering sebelum dimasukkan ke dalam insinerator untuk dibakar.


“Proses pembakaran dilakukan 24 jam setiap hari dan abu akan digaul dengan air sebelum dimasukkan ke dalam bekas untuk dikeringkan selama seminggu,” katanya.

Tambah beliau, bongkah abu yang kering dengan anggaran berat lima kilogram setiap satu akan disimpan dalam beg plastik untuk proses pelupusan di laut yang akan dilakukan dengan bantuan agensi kerajaan lain.

Sementara itu katanya, daerah Bentong dan Temerloh mencatat jumlah kutipan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran rosak tertinggi berbanding Kuantan, Bera, Jerantut, Raub, Maran dan Lipis.

“Aktiviti pelupusan kutipan dan pelupusan bahan ini dilakukan mengikut syarak bagi memelihara kemuliaan al-Quran.

“Al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran perlu dilupuskan mengikut tatacara pelupusan yang ditetapkan JAIP,” katanya.

Jelas beliau, sepanjang proses mengumpul dan melupuskan bahan ini, pihak JAIP turut mendapat kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar Pahang.

“Orang ramai yang memiliki al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran rosak akibat banjir diminta mengumpulkannya di masjid kariah dan surau setempat bagi tujuan pelupusan oleh pihak JAIP,” katanya. – Sinar Harian

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM


Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts