JAIS benarkan masjid, surau solat Jumaat dengan jumlah ditetapkan

 

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberikan kelonggaran kepada masjid dan surau di negeri ini untuk melaksanakan solat Jumaat serta solat lima waktu dengan jumlah jemaah ditetapkan sejak Isnin lalu.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penetapan jumlah jemaah itu dibuat berdasarkan perkembangan semasa setempat pandemik COVID-19 di negeri ini.

“Berdasarkan kelonggaran baharu, 500 jemaah dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) dan Masjid Tengku Ampuan Jemaah manakala bagi solat lima waktu, 150 orang jemaah dibenarkan di kedua-dua masjid berkenaan.

“Seramai 300 jemaah pula dibenarkan solat Jumaat di 39 masjid pengurusan serta 17 masjid institusi di negeri ini dan 150 jemaah untuk solat lima waktu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bagi masjid dan surau kebenaran solat Jumaat di daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam serta Hulu Selangor, jumlah jemaah dibenarkan mengikut kapasiti ruang solat dengan penjarakan 1.5 meter manakala solat lima waktu, 40 jemaah dibenarkan (termasuk pentadbir).

Katanya, bagi masjid dan surau kebenaran solat Jumaat di daerah Klang, Petaling, Kuala Langat, Sepang, Hulu Langat dan Gombak, 40 jemaah termasuk pentadbir fasiliti itu dibenarkan solat Jumaat serta solat lima waktu.

Semua surau termasuk surau institusi di negeri ini dibenarkan 40 jemaah menunaikan solat lima waktu.

Mohd Shahzihan berkata, ketika perbincangannya dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai kebenaran solat itu semalam, baginda menzahirkan rasa dukacita apabila sesetengah pihak mendakwa masjid dan surau di negeri ini sudah ditutup.

“Baginda juga berdukacita dengan tanggapan segelintir masyarakat ketetapan dibuat sebelum ini ibarat menghalang umat Islam beribadah di masjid dan surau.

“Secara faktanya, masjid dan surau di Selangor terus dibuka secara berperingkat berdasarkan situasi semasa pandemik COVID-19. Bagaimanapun, perkara ini tidak disiarkan media kerana kebenaran berkenaan kerap berubah (mengikut situasi COVID-19 setempat).

“Justeru, baginda mahu kebenaran baharu solat ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh ahli kariah dengan mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan supaya masjid dan surau tidak menjadi tempat cetusan baharu penularan pandemik COVID-19,” katanya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts