JAIS, SPRM kerjasama tangani rasuah di masjid, surau

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersetuju memasukkan klausa khas peringatan integriti bagi mengelakkan daripada sebarang kes penyalahgunaan kuasa dan salah laku membabitkan institusi masjid dan surau di Selangor.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan, Borhan Aman Shah berkata, Garis Panduan Pengurusan Kewangan Masjid dan Surau Negeri Selangor 2016 telah dijadikan rujukan oleh pihak SPRM.

Menurut beliau, SPRM telah merangka garis panduan pengurusan kewangan masjid dan surau Malaysia yang diselaraskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Garis panduan ini bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan dalam bentuk dana, kutipan pembinaan masjid atau surau dalam surat kelulusan pembinaan kepada jawatankuasa pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli mengenai cadangan memastikan semua masjid menjalankan kerjasama dengan pihak SPRM semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Selasa.

Menurut beliau, masjid dan surau di negeri ini tertakluk kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) secara spesifik.

Tambah Borhan, Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau Negeri Selangor 2017 dibuat dengan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berdasarkan peruntukan Seksyen 104 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor (PAIS) 2003 dan Garis Panduan Pengurusan Kewangan Masjid dan surau di bawah negeri Selangor pada tahun 2016.

Menjawab soalan mengenai peruntukan sumbangan kerajaan negeri kepada semua masjid di negeri ini sejak tahun 2018, Borhan memberitahu, sebanyak RM4.9 juta sumbangan disalurkan sehingga tahun ini.

Katanya, sebanyak RM4.5 juta diperuntukkan bagi elaun bulanan imam dari tahun 2018 hingga 2022, manakala elaun bulanan pegawai dan jawatankuasa masjid pada tahun 2021 pula sebanyak RM6.3 juta dan tahun ini sejumlah RM6.4 juta.

“Bagi sumbangan moreh pula pada tahun 2018 ialah sebanyak RM2.06 juta dan pada 2019 RM1.5 juta, bagaimanapun pada tahun 2020 dan 2021 tiada sumbangan moreh (pandemik Covid-19), manakala ia diteruskan pada tahun ini membabitkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta,” ujar beliau.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga memperuntukkan insentif khas Ramadan kepada jawatankuasa masjid dan surau.

“Pada tahun 2019 dan 2020 sebanyak RM4.1 juta diperuntukkan, manakala pada tahun 2021 dan 2022 pula sejumlah RM1.3 juta diperuntukkan,” jelasnya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts