JAIS tak ambil bayaran urus jenazah COVID-19

 

SHAH ALAM– Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hanya menguruskan jenazah pesakit COVID-19 yang telah dilepaskan oleh pihak hospital, kata pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Beliau berkata, perkara seperti memaklumkan tentang kematian pesakit COVID-19 dan kehadiran waris ke hospital adalah di bawah urusan pihak hospital.

“Beberapa serangan terhadap JAIS di media sosial dalam hal pengurusan jenazah COVID-19 adalah suatu telahan yang menyimpang.

“Ia juga tidak tepat, bersifat prejudis dan boleh menimbulkan perspektif buruk kepada dasar dan ketetapan baharu JAIS berhubung pengurusan jenazah COVID-19 yang telah dikuatkuasakan di seluruh Selangor pada 28 Julai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, pihaknya mengambil maklum berkenaan beberapa tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan kepada JAIS di media sosial dalam melaksanakan ketetapan baharu JAIS berhubung pengurusan jenazah COVID-19.

Beliau berkata, pengendalian pengurusan jenazah COVID-19 di Selangor telah disemak semula bagi membantu mengatasi kekangan dan meringankan tekanan pasukan barisan hadapan hospital terutamanya di Bahagian Forensik bagi mengelak berlaku semula backlog (tunggakan) jenazah kes kematian orang Islam akibat virus itu.

“JAIS ingin menegaskan dan mengesyorkan sekiranya pihak waris jenazah COVID-19 atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana individu mempunyai bukti terhadap perlanggaran ketetapan terbaharu itu atau perbuatan jenayah atau salah guna kuasa, terus buat aduan kepada JAIS atau laporkan kepada pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Mohd Shahzihan berkata, jabatan itu juga menetapkan bahawa tiada sebarang bayaran dikenakan kepada keluarga atau waris atas setiap pengurusan jenazah COVID-19 yang diuruskan oleh pihaknya.

Beliau berkata, bayaran hanya dikenakan oleh pihak pengurusan tanah perkuburan termasuk kos membuat keranda jika perlu yang terus dibayar oleh keluarga atau waris kepada pihak pengurusan tanah perkuburan terbabit.

Katanya, JAIS telah menetapkan tanah perkuburan yang sesuai bagi urusan jenazah COVID-19 untuk kemudahan semua pihak namun bagi situasi berkeperluan khas, pihaknya boleh membuat pertimbangan tertentu untuk melakukan perubahan yang bersesuaian dengan kepentingan umum, khususnya umat Islam.

Pada masa yang sama, JAIS juga mempelawa para sukarelawan dan mana-mana NGO yang ingin bekerjasama dengan Pasukan Petugas JAIS (Pengurusan Jenazah COVID-19) dalam membantu menguruskan jenazah berkenaan, perlu mematuhi ketetapan yang dibuat oleh jabatan itu.-  Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts