Jakim perlu diperkasa bukan dibubar: Mufti Perak

 

PARIT BUNTAR – Peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu dikaji semula untuk diperkasa bukan dibubarkan, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Katanya, Jakim mempunyai peranan yang amat besar dalam menyelaraskan pentadbiran institusi keagamaan di peringkat pusat dan negeri.

“Peranan Jakim ketika ini sudah cukup baik dan sekiranya ada cadangan bagi pembubaran badan itu, saya bimbang hubungan penyelarasan di antara kerajaan pusat dan negeri akan terputus.

“Jika kajian semula dilakukan kerajaan pusat bertujuan memperkasa peranan Jakim, ia memang sesuai selaras kepentingan peranan jabatan itu,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penyampaian bantuan Aidilfitri kepada fakir miskin sumbangan Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng, di sini, hari ini.

Namun, katanya, jika Jakim dibubarkan, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) terpaksa membawa diri dan akhirnya berkemungkinan mengeluarkan fakta bercanggah dalam sesuatu perkara (berkaitan hukum dan pentadbiran Islam).

Justeru, peranan Jakim perlu diperkasakan sebagai jambatan utama penyelarasan serta penyelesaian muktamad antara MAIN khususnya dalam penganjuran muzakarah ketika penentuan fatwa terhadap sesuatu isu membabitkan orang Islam.

“Kita tidak mahu jika Jakim dibubarkan, berlaku percanggahan pengeluaran fatwa di setiap negeri), sebagai contoh di Johor fatwa lain, di Perak fatwa lain,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan melihat semula peranan Jakim dengan mengumpulkan sejumlah ilmuan Islam untuk membincangkan masa depan jabatan itu.

Katanya, langkah itu dibuat bagi melihat semula peranan badan berkenaan sama ada perlu dikekalkan atau dikembalikan kepada tujuan asal ditubuhkan. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts