Jangan hina, aibkan pesalah kes lesbian: Hakim Syarie

 

KUALA TERENGGANU: “Janganlah anggap dua pesalah wanita ini hina, orang yang buruk dan jelik kerana apabila mereka bersedia menerima hukuman ia adalah tanda telah insaf dan sedar atas kesilapan.”

Itu peringatan Hakim Syarie Kamarulazmi Ismail susulan pelaksanaan hukuman enam kali sebatan di Mahkamah Tinggi Syariah Terenganu hari ini ke atas dua wanita yang didapati bersalah melakukan hubungan sejenis ketika ditahan dalam sebuah kereta, April lalu.

Tegasnya, hukuman itu juga adalah berbentuk pengajaran, peringatan serta pencegahan kepada pesalah itu sendiri dan masyarakat supaya tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

“Sebatan dalam syariah bukan untuk mencederakan, menyeksa, dan mengazabkan pesalah. Mudah-mudahan hukuman ini menjadi pengajaran dan peringatan kepada seluruh umat Islam dan memberi gambaran bagaimana hukuman syariah itu adalah satu hukuman yang berbentuk mendidik dan bukan untuk menyeksa,” katanya.
Kamalruazmi berkata demikian di awal prosiding dengan disaksikan Ketua Hakim Syarie Terengganu Wan Mohd Zakri Wan Mohd dan Hakim Kanan Syarie Terengganu Rosdi Harun serta lebih 100 orang yang berada di galeri awam.

Dua wanita itu, berusia 32 dan 22 tahun masing-masing, dihukum sebat enam kali kerana cuba melakukan hubungan seks dalam sebuah kereta di Dataran Arena Square, Dungun, pada 1.50 tengah hari 8 April lepas.

Selain itu, kedua-duanya turut didenda RM3,300 atau empat bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.

Kedua-dua tertuduh diberi peluang untuk membuat rayuan ke atas hukuman sebat itu dalam tempoh 14 hari namun tidak berbuat demikian sehinggalah tempoh tamat.

Sementara itu, pada sidang akhbar, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Satiful Bahari Mamat yang sempat menyaksikan pelaksanaan hukuman itu turut memberi peringatan yang sama dan berharap tiada spekulasi negatif berkenaan kes tersebut.

Katanya segala prosedur telah dipatuhi dan pihak Penjara Kajang serta Pengkalan Chepa, Kelantan bertanggungjawab melaksanakan hukuman hari ini.

Mengenai tahap ‘kekuatan sebatan’ yang dilihat berbeza ke atas setiap tertuduh, Ketua Hakim Syarie Terengganu Wan Mohd Zakri berkata ia hanyalah pada pandangan mata kasar dan berikutan bunyi berbeza kerana pegawai penjara masih mematuhi prosedur yang ditetapkan.

“Hakikat sebenar kita tidak tahu. Berbunyi kuat tidak semestinya lebih kuat. Yang ditekankan ialah mengikut tatacara (peraturan). Tidak semestinya apa yang kita nampak itu betul,” katanya.

Antara peraturan yang ditetapkan ialah orang yang melaksanakan sebat hendaklah menggunakan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukai kulit pesalah dan bagi pesalah wanita hendaklah dilaksanakan dalam keadaan pesalah duduk. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts