Jangan terpedaya idea salahkan agama konon halang kemajuan

 

BANGI– Umat Islam diingatkan tidak terpedaya dengan sebarang idea yang menyalahkan agama, kononnya menghalang kemajuan.

Meskipun menguasai ilmu sains dan teknologi adalah penting, memahami kehendak agama yang sebenar juga adalah asas untuk membawa individu atau sesuatu bangsa itu maju.

Justeru, sangat tidak wajar untuk terlalu cepat menuduh pengajian agama menjadi penyebab pelajar gagal menguasai ilmu sains dan teknologi, apatah lagi menganggapnya merosakkan masa depan mereka.

Ketua Setiausaha Kluster Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Mohd Noor Azib Asmangi berkata, lebih malang apabila mengaitkan pembelajaran agama sebagai agenda politik pihak tertentu untuk meraih sokongan.

“Hakikat yang perlu disuburkan ialah memahami kehendak agama yang sebenar itulah yang memandu seseorang untuk maju dan menguasai ilmu pengetahuan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kononnya tumpuan keterlaluan terhadap Islam di sekolah menyebabkan pelajar Melayu terpinggir dari pendidikan yang diperlukan mereka untuk berjaya.

Pemimpin berusia 95 tahun itu mendakwa, pada masa ini, tumpuan tidak diberikan kepada sains dan teknologi, sebaliknya pengajaran agama dititikberatkan secara keterlaluan seolah-olah setiap murid akan menjadi ulama.

Dr Mahathir mendakwa, tumpuan yang diberikan itu melampaui objektif asal pendidikan agama iaitu menerapkan nilai-nilai asas Islam.

“Natijahnya, mereka tidak akan menguasai bidang lain, khususnya sains dan matematik yang amat penting untuk memperolehi mata pencarian,” kata Dr Mahathir.

Membidas dakwaan pemimpin Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu, Ustaz Mohd Noor Azib berkata, sudah ramai ilmuan sains dan teknologi dalam kalangan orang Islam telah menjadi rujukan.

Malah, sejarah juga membuktikan pegangan kuat kepada agama adalah asas penting kepada kekuatan sesebuah bangsa serta tamadun.

“Sebaliknya jauhnya bangsa dari agama juga menjadi punca kepada kehancuran sebuah dinasti dan tamadun.

“Mengejar kemajuan tanpa pegangan asas yang sebenar akan melahirkan seorang yang nampak macam maju tapi hakikatnya kosong.

“Dia mungkin boleh bercakap macam orang pandai tetapi jiwanya kosong kerana tiada nilai,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu dapat dibuktikan daripada beberapa negara yang dikatakan maju tetapi kadar bunuh diri serta jenayah antara yang tertinggi.

“Kerana apa? Kerana jiwa rakyatnya kosong dan tidak faham hakikat kehidupan. Adakah ini kemajuan yang diinginkan?

“Sedangkan dari agamalah kita faham bahawa menuntut ilmu itu merupakan suatu kewajiban,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts